Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Nov. - Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan sebagai negara ketiga terpantas di ASEAN dalam purata kelajuan muat turun jalur lebar talian tetap bagi bulan September 2020.
Laporan buletin IRDA yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, kedudukan itu berjaya dikekalkan sejak Ogos 2020.
"Malaysia di kedudukan ketiga di ASEAN yang mana kedudukan itu dikekalkan sejak Ogos 2020," jelas laporan buletin itu.
Malaysia mencatatkan purata kelajuan muat turun jalur lebar talian tetap berjumlah 91.49 megabit sesaat (Mbps) pada September.
Purata kelajuan itu meningkat berbanding hanya 87.90 Mbps pada bulan Ogos sebelumnya.
Singapura dan Thailand masing-masing mendominasi di kedudukan pertama dan kedua ASEAN dengan kadar kelajuan 226.60 Mbps dan 175.22 Mbps.
Mengikut perbandingan seluruh dunia, Malaysia berada di kedudukan ke-42 berbanding kedudukan 41 pada Ogos 2020.
Mengikut purata kelajuan muat turun jalur lebar talian mudah alih pula, Malaysia mencatatkan kedudukan ke lima ASEAN.
Kedudukan itu meningkat berbanding kedudukan ke enam pada Ogos 2020.
Malaysia berada di belakang negara Sipngapura, Thailand, Vietnam dan Laos.
Mengikut perbandingan seluruh dunia pula, purata kelajuan muat turun jalur lebar talian mudah alih negara ini berada di kedudukan ke-81. - DagangNews.com