Memperkasa Usahawan-Pelajar: Kelebihan belajar sambil bekerja | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 14 Feb 2022 08:44 AM

MEMPERKASA GENERASI USAHAWAN-PELAJAR: KELEBIHAN BELAJAR SAMBIL BEKERJA

Dr. Maslina Abdul Aziz

 

 

DALAM mengikuti peredaran masa, hanya dengan segenggam ijazah sarjana muda tidak mencukupi. Bakat yang ada akan dihargai lebih daripada kelayakan akademik semata-mata.

 

Majikan juga melihat bukan sekadar kebolehan teknikal dan pengetahuan ijazah. Mereka mengutamakan komunikasi, kerja berpasukan dan kebolehan menyelesaikan masalah.

 

Pengalaman bekerja akan memberikan nilai tambah kepada pengajian akademik dengan memberi peluang pembelajaran tambahan di luar bilik darjah.

 

Walaubagaimanapun, memang sukar untuk menyeimbangkan antara pengajian dan pekerjaan.

 

Namun kenyataan ini dapat disangkal oleh seorang usahawan bernama Muhammed Al-Qayyum Yasseir Araffat. Beliau adalah seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) dalam Pengkomputeran Multimedia di Fakulti Sains Komputer dan Matematik. 

 

Berasal dari Ipoh, Perak, Qayyum merupakan pengasas syarikat Maq Creative. Minat Qayyum dengan teknologi dan pengkomputeran telah bermula sejak di bangku sekolah lagi. Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran, ia tidak melemahkan semangatnya untuk berjaya.

 

 

qayyum
                                   Muhammed Al-Qayyum Yasseir Araffat

 

 

Syarikat Maq Creative ditubuhkan pada 2020. Pada mulanya Maq Creative hanya menyediakan beberapa perkhidmatan komputer, seperti reka bentuk grafik, penyuntingan video, dan penciptaan laman web.

 

Walaupun baru, Maq Creative semakin berkembang maju. Antara perkhidamatan-perkhidmatan lain yang ditawarkan adalah Penerbitan dan Penghasilan Video, Jurugambar & Juruvideo Perkahwinan, Pereka grafik dan juga jurulatih webinar.

 

Antara pelanggan-pelanggan yang pernah mendapatkan servisnya adalah Lazada MY, Astro, ML Studio, Yayasan Perak, Kedai Emas Safura, Young Living MY, FSKM, ICEPs UiTM, Oracle Corporation dan beberapa universiti tempatan.

 

Walaupun masih menuntut di semester lima, secara purata setiap bulan Qayyum memperoleh pendapatan sampingan tidak kurang daripada empat angka.  

 

Kebolehan Qayyum tidak dapat sangkal apabila memenangi Pertandingan Bercerita Perniagaan/Keusahawanan Akademi Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia atau BEST 1.0 pada bulan Ogos 2020.

 

Selain itu, Qayyum juga terpilih untuk menyertai program Me.reka Digital Entrepreneur Programme.

 

Walaupun ketika dunia dilanda COVID-19, usaha Qayyum tidak terhenti. Pada November 2021, Qayyum sekali lagi membuktikan kehebatannya dengan memenangi wang tunai RM4,000 dengan mendapat tempat pertama pertandingan video pendek amalan baik peraturan (GRP) anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

 

 

mula

 

 

Sebagai usahawan-pelajar yang berjaya, Qayyum mengakui terdapat banyak kelebihan dan cabaran.

 

Antara kelebihan-kelebihannya adalah, ia memberi sudut pandangan dan konteks baharu kepada pembelajaran akademik, serta peluang untuk mempraktikkan teori.

 

Selain itu, apabila terlibat dengan pelabagai projek, ia membantu dalam pembangunan idea untuk menyiapkan tugasan dan projek tahun akhir.

 

Dengan pengalaman membangunkan pelbagai jenis kemahiran pekerjaan, ini juga akan meningkatkan kebolehpasaran seseorang.

 

Namun yang paling berharga adalah, pengalaman ini akan membantu seseorang berkembang secara dalaman dan membentuk peribadi mendidik diri menjadi lebih berdisiplin dan yakin diri.

 

 

mula

 

mula

 

 

Seperti yang dinyatakan pada awalnya, bukan mudah untuk belajar sambil bekerja.

 

Antara cabaran yang telah dilaluinya adalah dalam pengurusan masa ketika perlu menyelesaikan tugasan universiti yang sedia ada sambil menerima permintaan skop kerja yang saban hari tidak seperti kebiasaannya.

 

Qayyum juga perlu mengeluarkan modal untuk naik taraf peralatan serta menyertai kursus penguasaan peralatan yang baru dibelinya.

 

Beliau mengambil masa untuk memilih pekerja sambilan yang sesuai untuk memastikan individu yang dipilih mampu melakukan tugasan dengan memberi didikan khas bagi mengekalkan kualiti yang konsisten.

 

Qayyum juga turut merasakan cabaran bagi membuat rundingan harga bagi perkhidmatan bersama klien kerana harga bergantung kepada pelbagai faktor termasuk penggunaan peralatan dan jumlah krew yang perlu diupah.

 

Berpegang teguh dengan kata-kata “ideas are worthless without the execution” dan menjadikan Gary Vaynerchuk sebagai idola menjadikan Qayyum lebih berusaha dan bersemangat.

 

Untuk sebarang pertanyaan, sila lawat laman Instagram: https://www.instagram.com/maqcreative.my/   - DagangNews.com

 

Dr. Maslina Abdul Aziz adalah Koordinator  Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED), Fakulti Sains Komputer & Matematik, UiTM Shah Alam

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL MULANYA DI SINI