Mustakim dilantik Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan Tabung Haji baharu | DagangNews Skip to main content

Mustakim dilantik Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan Tabung Haji baharu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
mohdzulfadli@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jan - Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pelantikan Mustakim Mohamad sebagai Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan baharu berkuatkuasa 16 Disember tahun lepas.

 

Mustakim telah memangku jawatan ketua pegawai kewangan susulan peletakan jawatan Datuk Merina Abu Tahir.

 

Sebelum itu, Mustakim merupakan pengarah eksekutif operasi dan pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TH pada Ogos 2018 sehingga April 2020.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, pelantikan Mustakim mengambil kira pengalaman beliau yang berkhidmat lebih 18 tahun di TH, meliputi bidang pengurusan kewangan, pelaburan dan operasi. 

 

"Pihak Pengurusan yakin kepakaran beliau dapat mengukuhkan lagi pentadbiran kewangan sekali gus membantu Kumpulan TH menghadapi persekitaran ekonomi yang sangat mencabar berikutan kesan wabak COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

th

Merupakan lulusan Sarjana Kewangan dari Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia, Mustakim juga seorang akauntan bertauliah yang diiktiraf Association of Chartered Certified Accountants (ACCA). 

 

Beliau mempunyai lebih 22 tahun pengalaman bekerja khususnya dalam bidang pengurusan kewangan dan auditan di institusi korporat multinasional.

th

TH turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Merina yang sebelum ini menyandang jawatan ketua pegawai kewangan sejak 5 Februari tahun 2020 atas komitmen dan sumbangan yang diberikan kepada TH. - DagangNews.com