Skip to main content

MVIA gesa gubal peraturan bendung salah guna vape dalam kalangan remaja, kanak-kanak

KUALA LUMPUR 5 Mei – Malaysian Vape Industri Advocacy (MVIA) menyelar tindakan sepasang suami isteri yang telah memberikan bayi mereka dipercayai berusia dua tahun, menggunakan vape baru-baru ini.

 

Presiden MVIA, Rizani Zakaria berkata, MVIA dan industri vape membantah penggunaaan vape dalam kalangan remaja dan juga kanak-kanak.

 

"Kerana hal seperti ini, kami memperjuangkan pengubalan undang-undang khusus berkaitan vape. Jika terdapat satu peraturan, tindakan terhadap mereka dapat diambil.

 

“Pengguna vape juga perlu dididik berkaitan vape supaya mereka tidak menyalahgunakan produk ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Rizani berkata, tindakan tidak bertanggungjawab ibu bapa kanak-kanak ini telah menyebabkan masyarakat memandang serong penggunaan vape walhal hanya segelintir yang berkelakuan buruk dan menyalahgunakannya.

 

“Jika perkara seperti ini berterusan, ia akan memberikan reputasi buruk kepada penggunaan vape dan akan melumpuhkan industri yang bernilai RM2.27 bilion ini.

 

rizani zakaria
Rizani Zakaria

 

“Oleh itu, MVIA sekali lagi menggesa supaya kerajaan segera melaksanakan undang-undang khusus dan mengeluarkan peraturan berkaitan vape dan e-cecair agar perkara seperti ini dapat dibendung,” kata Rizani.

 

Video yang berdurasi 12 saat itu telah tular di media sosial dan mendapat reaksi negatif pelbagai pihak. Rakaman tersebut menunjukkan seorang kanak-kanak yang sedang menonton video di telefon bimbit diberikan vape beberapa kali.

 

MVIA ialah sebuah kumpulan kepentingan khusus yang tidak berlandaskan keuntungan dalam menyokong usahawan dan perniagaan vape Malaysia. Matlamatnya ialah untuk mewakili industri vape dengan menyampaikan suara industri kepada badan kerajaan, pihak berkuasa kawal selia, agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan yang lain. - DagangNews.com