MyMy, Sukaniaga jalin kerjasama bentuk konsortium perbankan digital | DagangNews Skip to main content

MyMy, Sukaniaga jalin kerjasama bentuk konsortium perbankan digital

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 3 Mac. - Syarikat Fintech tempatan, MyMy Payments Malaysia Sdn. Bhd. (MyMy) mengumumkan kerjasama dengan Sukaniaga Sdn. Bhd. (Sukaniaga) bagi membentuk konsortium perbankan digital.

 

Kerjasama tersebut bertujuan untuk membida salah satu daripada lima lesen perbankan digital yang akan dikeluarkan tahun hadapan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

 

MyMy berkata, konsortium berkenaan juga sedang mencari rakan strategik tambahan bagi mengukuhkan lagi konsortium dalam usaha membida dan memperolehi lesen perbankan digital tersebut.

 

Pengerusi MyMy, Tunku Ahmad Burhanuddin berkata, pihaknya baru sahaja berjaya memperolehi penambahan modal pusingan yang terbesar di Malaysia dengan pihak Koperasi Tentera (KT).

 

"Impian kami adalah untuk menjadi bank digital patuh shariah yang pertama di dunia. Sejak menerima pelaburan daripada pihak Koperasi Tentera, pihak MyMy telah berusaha dengan tekun untuk menggunakan perkhidmatan kewangan digital bagi kemajuan komuniti ahli-ahli Koperasi Tentera. 

 

"Teknologi dan kepakaran kami di dalam perbankan digital, digabungkan dengan pelbagai produk dan jumlah pelanggan yang kukuh daripada pihak  Sukaniaga, akan memungkinkan peranan industri Koperasi di masa hadapan yang lebih komprehensif dan inovatif, bagi memenuhi keperluan ahli koperasi melebihi daripada 6 juta ahli," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam memenuhi pelbagai syarat untuk pembidaan lesen perbankan digital dengan pihak BNM, konsortium masih mempertimbangkan rakan strategik terakhir sebelum mengemukakan permohonan kepada BNM. 
 

Rakan strategik tersebut bakal menjadi syarikat peringkat pertama di Malaysia dengan kedudukan kewangan yang kukuh dan memiliki asas pelanggan yang besar.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Sukaniaga, Mohammad Shaharul berkata, kedua-dua pihak iaitu MyMy dan Sukaniaga beraspirasi untuk merevolusikan perbankan digital bagi 6 juta ahli koperasi di Malaysia dan 100 juta ahli Koperasi di seluruh ASEAN.

 

Terdahulu, Sukaniaga menyediakan solusi menyeluruh bagi pendigitalan permohonan pinjaman dan telah pun memperolehi konsesi selama 15 tahun bermula pada tahun 2018 sehingga tahun 2032 daripada ANGKASA.

 

Pada tahun 2020 pula, skop perniagaan Sukaniaga telah diperluaskan merangkumi pemasaran digital, e- Wallet dan platform digital perniagaan (B2B) sebagai rakan kongsi perniagaan bagi memperluaskan produknya kepada para anggota Koperasi ANGKASA yang terlibat di dalam Sistem Pemotongan Gaji ANGKASA (SPGA) yang diiktiraf dan mendapat akreditasi. - DagangNews.com