Nazir Razak dilantik Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Nazir Razak dilantik Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 April - Datuk Seri Nazir Razak telah dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) berkuatkuasa hari ini. 

 

Beliau menggantikan Datuk Zaiton Mohd. Hassan yang telah bersara pada Februari 2021 selepas berkhidmat selama dua tahun. 

 

Nazir berkata, BPMB merupakan sebuah institusi pembangunan kewangan penting bertujuan menyokong syarikat dan projek yang memupuk pertumbuhan sosio ekonomi.

 

“Saya amat berterima kasih atas peluang ini untuk berkhidmat kepada sebuah institusi kerajaan dan membawa bersama pengalaman selama beberapa tahun dalam sektor kewangan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Nazir merupakan Pengasas Bersama dan Pengerusi Ikhlas Capital iaitu sebuah firma ekuiti swasta ASEAN. 

 

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam perbankan dan pernah berkhidmat sebagai Pengerusi di CIMB Group Holdings Berhad selama sempat tahun dan 15 tahun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bank tersebut.

 

Dalam pada itu, Nazir juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Khazanah Nasional selama empat tahun. 

 

Beliau pernah menjadi ahli Panel Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama 15 tahun.

 

“Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan Nazir ke BPMB. 

 

“Pengalaman kewangannya yang luas akan menjadi aset signifikan buat BPMB seiring kami meneruskan perjalanan membangunkan negara,” kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BPMB, Arshad Mohamed Ismail. - DagangNews.com