Nexea labur RM2.5 juta dalam syarikat jualan berlian dalam talian terbesar Zcova | DagangNews Skip to main content

Nexea labur RM2.5 juta dalam syarikat jualan berlian dalam talian terbesar Zcova

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Jan - Syarikat jualan berlian dalam talian terbesar, Zcova berjaya mengumpul sebanyak RM2.5 juta daripada syarikat pelabur, Nexea walaupun berdepan pandemik.

 

Rakan Kongsi Urusan Nexea, Ben Lim berkata, keyakinan pihak pelabur dibuktikan betul dengan hasil pertumbuhan Zcova sebanyak 45% daripada tahun sebelumnya.

 

“Zcova mempunyai model perniagaan yang sangat kukuh dan terbukti keberkesanannya di negara lain. Mereka mempunyai kelebihan daya saing yang sangat kuat dan mencapai prestasi terbaik di rantau Asia Tenggara.

 

"Kami jangkakan Zcova menjadi pemenang utama dalam kalangan barisan barang kemas dalam talian dan seterusnya berpeluang besar menjadi salah satu syarikat 'unicorn' di rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Zcova merupakan jenama barang kemas berlian yang dimulakan pada Julai 2015 oleh pengasasnya, Low Ziwei dan Low Ziyin dengan matlamat untuk merevolusi industri berlian.

 

 

nexea
                            Ben Lim

 

Jenama ini memperkenalkan inovasi baharu termasuk video berlian 360 darjah, konsultasi maya peribadi, percubaan cincin maya menggunakan realiti terimbuh (AR) dan juga dwi pensijilan berlian kepada pasaran berlian Malaysia.

 

Ziwei pula berkata, sejak ditubuhkan pada 2015, Zcova berjaya membantu lebih 4300 pelanggan dengan penjimatan bernilai lebih RM 20 juta menerusi model perniagaan inovatif dan didikan pengguna yang berterusan. 

 

Katanya, dengan nilai dan prinsip Zcova (pendidikan, ketelusan, perkhidmatan dan pengalaman pelanggan), pihaknya berjaya mencapai pelanggan di seluruh negara dan meningkatkan permintaan bagi barang kemas Zcova.

 

 

ziwei
                    Low Ziwei (kiri) dan Low Ziyin 

 

"Kami memastikan setiap pelanggan menerima sesi konsultasi peribadi, sama ada secara dalam talian atau luar talian di Pusat Pengalaman Zcova agar pelanggan menimba pengalaman yang padu. Ia selari dengan misi Zcova untuk menjadikan berlian lebih mudah diperolehi oleh semua orang dengan pengalaman pelanggan yang luar biasa. 

 

"Kami kini menawarkan pengalaman ini kepada lebih banyak lokasi, bermula dengan Johor. Pusat Pengalaman Johor akan beroperasi sebagai hab wilayah selatan untuk memberikan pengalaman yang sama seperti ibu pejabat kami, selain memberikan kemudahan tambahan kepada pelanggan kami di selatan,” katanya. - DagangNews.com