NUBE gesa kerajaan percepatkan suntikan vaksin pekerja bank | DagangNews Skip to main content

NUBE gesa kerajaan percepatkan suntikan vaksin pekerja bank

 

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menggesa supaya kerajaan mempercepatkan suntikan vaksin kepada pekerja-pekerja sektor perbankan dengan segara kerana mereka merupakan antara kumpulan barisan hadapan negara.

 

Setiausaha Agung kesatuan itu, J. Solomon melahirkan rasa terkilan kerana sehingga kini, pekerja-pekerja perkhidmatan perbankan belum disenaraikan sebagai kumpulan sasaran barisan hadapan untuk mendapatkan suntikan antivaksin meskipun beberapa surat permohonan telah dikemukakan kepada agensi terlibat sejak Mac lalu.

 

Pada pertengahan Mac lalu, Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) mengemukakan surat kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dimaklumkan akan persetujuan kementerian itu untuk memberi pertimbangan kepada permintaan agar pekerja-pekerja perbankan turut diberi keutamaan. 

 

 

J.Solomon
J. Solomon

 

 

Susulan permohonan MCBA kepada MOSTI, NUBE telah menulis surat kepada MOSTI pada Mei dan dimaklumkan bahawa permintaan NUBE telah dipanjangkan kepada Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

Susulan itu, pada 2 Jun lalu, NUBE memaklumkan kepada MITI bahawa sektor perbankan telah membekalkan senarai nama pekerja-pekerja yang terlibat sebagaimana diminta, tetapi sehingga ke hari ini tidak ada maklum balas daripada kementerian tersebut.

 

"Kami senantiasa menghargai inisiatif yang sedang diambil oleh kerajaan dalam mengendalikan program vaksinasi dan mencapai sasaran kelompok imuniti membabitkan rakyat Malaysia dengan menerima suntikan vaksin COVID-19.

 

"Malangnya permintaan kami dalam perkara ini, yang sudah berbulan-bulan lamanya belum mendapat hasil yang positif dan kami sangat kecewa dengan ketiadaan tindakan proaktif ke atas kesemua permintaan setakat ini," katanya.

 

Beliau sekali lagi menegaskan, NUBE bersedia memberi kerjasama dan sokongan ke atas program vaksinasi ini tetapi usaha kesatuan untuk mendapatkan pengesahan daripada agensi kerajaan terbabit amat perlahan.

 

"Tindakan seperti ini memudaratkan kesihatan dan keselamatan bukan sahaja pekerja tetapi juga keluarga mereka yang menjadi barisan hadapan sektor perbankan yang dikategorikan sebagai perkhidmatan penting," katanya.

 

Solomon memberitahu, NUBE bersedia membantu memobilisasikan pekerja-pekerja bank, termasuk ahli-ahli kesatuan untuk menjayakan sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan dalam program vaksinasi kebangsaan.

 

"Oleh itu, janji untuk mengutamakan barisan hadapan di sektor perbankan, yang merupakan salah satu sektor utama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekarang, harus dipenuhi segera," tegas beliau. - DagangNews.com