KUALA LUMPUR 4 Julai - Rangkaian produk bayi dan isi rumah organik premium, Offspring Inc. Sdn Bhd (Offspring) boleh dihantar ke rumah pelanggan dalam tempoh 30 minit dengan harga serendah 99 sen. (Caj dan garis masa penghantaran bergantung pada jarak), menerusi kerjasamanya dengan foodpanda.
Anak syarikat Sedania Innovator Berhad (Sedania) itu bersama Foodpanda yang mana perkhidmatan barangan runcitnya, pandamart menjadi saluran jualan dalam talian terbaru Offspring.
Dengan menjadi sebahagian daripada pangkalan peniaga foodpanda yang semakin berkembang, Offspring bakal meraih manfaat menerusi lebih 20,000 penunggang e-hailing foodpanda sedia ada dan capaian pelanggan melebihi 20 juta orang di Malaysia.
Pada masa ini, pelanggan Offspring di sekitar Lembah Klang boleh menikmati pengalaman membeli-belah efisyen bagi produk penjagaan kesihatan bayi mesra alam premium menerusi platform mudah alih yang senang digunakan, selain turut mendapat manfaat daripada penghantaran barangan yang lebih pantas.
Ketua Pegawai Eksekutif Offspring, Mohamed Roslan Ismail berkata, perkembangan positif itu seiring dengan matlamat mereka untuk menawarkan pengalaman terbaik kepada pelanggan, memandangkan saluran jualan tersebut meningkatkan kemudahan dan kebolehcapaian pelanggan melalui penghantaran pantas.
"Kami sedar bahawa pelanggan sentiasa mengutamakan yang terbaik untuk bayi mereka, justeru kehadiran lebih luas menerusi platform dalam talian juga membantu menangani senario yang mana pelanggan terlupa menambah bekalan barangan penjagaan kesihatan bayi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, usaha sama terbaru itu juga melengkapkan strategi mendahulukan jualan dalam talian Offspring, dengan saluran jualannya yang lain merangkumi Shopee, Lazada dan GrabMart di Asia Tenggara serta Amazon di Amerika Syarikat dan pasaran dalam talian terbesar di Rusia, Wildberries.
"Walaupun salah satu matlamat terbesar kami kekal untuk menembusi pasaran geografi baharu,, kami juga sentiasa menyasarkan peningkatan jumlah jualan dalam pasaran sedia ada yang mana foodpanda bersedia untuk meningkatkan prospek jualan domestik kami," katanya.
Offspring telah menjadi jenama produk bayi organik dan mesra alam premium yang paling pesat berkembang, dengan kini lebih 170 SKU tersedia di 23 negara merangkumi AS, Eropah, Asia Tenggara dan juga Afrika.
Pertumbuhan pantas yang dicapai oleh unit ‘Sustainable Healthcare’ Sedania didorong reputasinya sebagai jenama berprestij mewah yang berjaya mengubah tingkah laku pengguna tradisional.
Offspring berjaya apabila ia menumpukan kepada penyelesaian penjagaan awal kanak-kanak, antaranya menghasilkan produk organik bayi berkualiti tinggi.
Offspring menawarkan pelbagai produk termasuk lampin bayi mesra alam, tisu basah terbiodegradasi, barangan keperluan penjagaan bayi dan produk isi rumah yang menggunakan bahan berasaskan tumbuhan, organik serta tidak bertoksik.
Selain produknya mesra alam dan berasaskan organik yang membantu mengurangkan pelepasan karbon, produk Offspring juga selamat dan mampan seperti yang dibuktikan pelbagai pensijilan dan akreditasinya, termasuk EcoCert, bebas alahan Australia, sijil FSC serta bebas kekejaman dan tidak bertoksik. - DagangNews.com