Omar Siddiq
KUALA LUMPUR 12 Jan - HSBC Bank Malaysia melantik Omar Siddiq sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya.
Sebelum ini, beliau merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Borong Kumpulan di CIMB Group Holdings Bhd.
Pelantikan Omar itu bagi menggantikan Stuart Milne, yang akan bersara pada akhir Mac 2022 selepas 40 tahun bersama dengan HSBC Group.
Ketua Eksekutif Bersama HSBC Asia Pasifik, Surendra Rosha berkata, pihaknya mengalu-alukan Omar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi HSBC Bank Malaysia untuk menerajui fasa pertumbuhan selanjutnya.
Katanya, Malaysia memiliki peluang besar merentasi beberapa bidang tumpuan strategik utama HSBC iaitu pertumbuhan di ASEAN, kewangan mampan dan inovasi digital.
"Pengalaman luas dan pengetahuan mendalam Omar mengenai pasaran tempatan amat bernilai apabila kami mengukuhkan operasi Malaysia bagi menyokong aspirasi pertumbuhan Asia kumpulan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum menyertai CIMB, Omar adalah Ketua Perbankan Borong Kumpulan di RHB Bank Bhd. dan juga bekas Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan di Malaysia Airlines.
Beliau juga menyandang jawatan dalam Bahagian Pelaburan di Khazanah Nasional Bhd. dan adalah ahli pasukan pengurusan kanan yang memberi tumpuan kepada sektor penerbangan dan lapangan terbang.
Sementara itu, Omar berkata, beliau teruja untuk bekerja bersama pasukan pengurusan dan juga Lembaga Pengarah untuk membangunkan momentum semasa bagi memenuhi potensi yang lebih besar.
Omar akan melaporkan kepada Rosha dan akan menyertai Lembaga Pengarah HSBC Bank Malaysia Bhd dan HSBC Amanah Malaysia Bhd sebagai Pengarah Eksekutif, serta ahli Jawatankuasa Eksekutif Asia Pasifik.
Dalam pada itu, CIMB Group menerusi pemfailan di Bursa Malaysia memaklumkan mengenai peletakan jawatan Omar setelah menyertai kumpulan perbankan itu sejak November 2018 Omar sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan. -DagangNews.com