OPR dikekalkan 1.75% - Bank Negara | DagangNews Skip to main content

OPR dikekalkan 1.75% - Bank Negara

 

 

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) buat kali ketiga pada kadar 1.75%.

 

Menurut BNM dalam kenyataan, peningkatan semula kes COVID-19 dan pengenalan langkah pembendungan bersasar telah mempengaruhi momentum pemulihan dalam suku keempat 2020. 

 

Sehubungan itu, bank pusat itu berkata, pertumbuhan bagi 2020 dijangka berada angka bawahan dalam julat unjuran awal. 

 

"Bagi 2021, walaupun pertumbuhan jangka pendek dijangka terkesan disebabkan pengenalan semula langkah pembendungan yang lebih ketat tetapi impaknya adalah kurang tinggi berbanding 2020 dengan trajektori pertumbuhan diunjurkan meningkat dalam suku kedua dan seterusnya. 

 

"Peningkatan tersebut akan dipacu pemulihan dalam permintaan global, peralihan dalam perbelanjaan sektor awam dan swasta ekoran sokongan berterusan langkah-langkah dasar dan pengeluaran tinggi daripada kemudahan pembuatan serta perlombongan sedia ada dan baharu," katanya dalam kenyataan hari ini. - DagangNews.com