Orang Asli tidak perlu gusar projek empangan hidro Nenggiri | DagangNews Skip to main content

Orang Asli tidak perlu gusar projek empangan hidro Nenggiri


KUALA LUMPUR 18 April - Sesi libat urus (engagement) mengenai rancangan pembangunan empangan hidro di Nenggiri, Gua Musang, Kelantan, anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 7 April lalu berlangsung dengan harmoni dan disifatkan SUHAKAM sebagai berjaya merungkai kegusaran impak pelaksanaannya kepada komuniti sekitar projek itu.

 

“SUHAKAM berpuas hati dengan sesi libat urus yang berlangsung kerana pihak TNB telahpun memberikan penerangan terperinci mengenai pelaksanaan projek ini,” kata Pesuruhjaya SUHAKAM, Jerald Joseph yang mempengerusikan sesi.

 

“Pihak komuniti orang asli yang terjejas dan terlibat (dengan projek ini pula) diberi peluang yang luas untuk membangkitkan sebarang pertanyaan dan kemusykilan mengenai projek ini. Proses keterbukaan di antara semua pihak berkepentingan adalah cara penting untuk pembangunan berlaku berlandaskan prinsip hak asasi manusia.

 

“Kami mementingkan perkongsian maklumat dengan penuh keterbukaan di samping mencari cara yang lebih mesra yang dapat mengimbangi semua tuntutan hak pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia,” ujar Jerald Joseph di akhir sesi berkenaan.

 

Libat urus yang berlangsung selama tiga jam di Kuala Lipis, Pahang itu bertujuan memberikan penerangan mengenai status semasa projek serta manfaat kepada penduduk negeri Kelantan dan komuniti orang asli yang terkesan secara langsung dengan projek. Pengisian libat urus termasuk sesi soal jawab di antara pihak-pihak yang terlibat.

 

Sesi dihadiri empat anggota SUHAKAM, enam pemimpin komuniti orang asli di tapak projek empangan hidro iaitu dari Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kg. Kuala Wias; 11 orang dari kumpulan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK); serta pegawai-pegawai dari Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan, Pejabat Daerah Gua Musang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

nenggiri
Pesuruhjaya SUHAKAM, Jerald Joseph (kiri) mempengerusikan sesi libat urus antara komuniti Orang Asli, Kerajaan Negeri Kelantan, JAKOA, Majlis Daerah Gua Musang dan TNB bagi membincangkan pembangunan empangan hidro di Nenggiri, Kelantan pada 7 April lalu.

 

Timbalan SUK Negeri Kelantan (Pembangunan), Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dalam ucapannya berkata sesi libat urus itu dapat memberikan penerangan yang lebih mendalam kepada mereka yang terkesan dengan projek itu.

 

“Kerajaan Negeri Kelantan mengalu-alukan pelaksanaan projek ini kerana ia bakal memberikan manfaat kepada semua rakyat negeri Kelantan, terutama komuniti orang asli yang terlibat di kawasan tersebut.

 

“Di samping itu, projek hidro ini dijangka dapat membantu kerajaan negeri meminimakan impak fenomena banjir besar yang kerap melanda negeri Kelantan selain mengatasi isu perbekalan air bersih serta pengairan dan menggiatkan eko-pelancongan,” katanya lagi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tohoi, Ajeh Baharom pula berharap pelaksanaan projek pembangunan hidro itu dapat disegerakan kerana penduduk di ketiga-tiga perkampungan orang asli yang terlibat telah menunggu lapan tahun untuk ia dibangunkan.

 

“Majoriti penduduk di Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kg Kuala Wias telah pun bersetuju untuk berpindah ke penempatan baharu dan memulakan kehidupan di tempat baharu seperti yang di telah dipersetujui bersama JAKOA, Kerajaan Negeri Kelantan dan juga TNB.

 

“Kami telah menunggu selama lapan tahun untuk melihat projek hidro ini berjalan supaya komuniti orang asli yang terlibat dapat memulakan kehidupan yang lebih baik di tempat baharu nanti,” kata Ajeh lagi.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd, Dato Nor Azman Mufti, dalam taklimatnya memaklumkan bahawa TNB sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dan sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan dalam semua projek pembangunannya.

 

“Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap impak Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam melaksanakan projek penjanaan elektrik, TNB sentiasa beriltizam memastikan setiap syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan juga pihak kawal selia dalam melaksanakan projek penjanaan dipatuhi sepenuhnya.

 

“TNB juga komited memastikan komuniti orang asli yang terkesan dengan pembangunan projek hidro ini bakal mendapat pembelaan serta bantuan yang sewajarnya sehinggalah projek ini siap sepenuhnya serta beroperasi kelak,” jelasnya.

 

Sesi libat urus yang julung kali dianjurkan oleh SUHAKAM bersama pihak-pihak yang berkepentingan dalam projek pembangunan empangan hidro merupakan satu manifestasi bahawa sesi perundingan dan perbincangan dengan semua pihak dapat merungkaikan sebarang kekusutan atau salah faham antara pihak-pihak yang terlibat. - DagangNews.com