OS HRS ambil alih Frontier e-HR, syarikat teknologi sumber manusia berasaskan awan | DagangNews Skip to main content

OS HRS ambil alih Frontier e-HR, syarikat teknologi sumber manusia berasaskan awan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mei - Syarikat peneraju teknologi sumber manusia yang berpangkalan di Malaysia, OS HRS berjaya memuktamadkan perjanjian bagi mengambil alih syarikat Frontier e-HR iaitu sebuah syarikat pakar teknologi sumber manusia berasaskan awan yang mengendalikan pelbagai syarikat di 30 negara.

 

Langkah itu akan mengkuhkan kedudukan OS HRS melayani syarikat multinasional di sekitar Asia Pasifik dan menyokong perkembangannya dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain pasaran baharu termasuk Amerika Selatan, Eropah dan Afrika.

 

Ketua Pegawai Eksekutif OS HRS, Shawn Suresh berkata, pengambilalihan itu akan mempercepatkan strategi pertumbuhan global dan meluaskan rangkaiann perkhidmatan mereka.

 

"Penting untuk kami melancarkan operasi pelanggan dan mematuhi segala undang-undang yang terdapat di negara-negara berkaitan.

 

"Menerusi Frontier e-HR, kami yakin dapat meningkatkan produktiviti, ketepatan dan kecekapan dengan kuasa teknologi sumber manusia melalui automasi selain mematuhi segala undang-undang yang ada," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Teknologi Pengurusan Sumber Manusia (HRMS) berasaskan cloud itu merangkumi pelbagai modul termasuk pengurusan bakat, penggajian, masa dan kehadiran, serta pengurusan tuntutan dan perjalanan. 

 

hr

 

Selain itu, Frontier e-HR memetakan produk khusus industri dengan pensijilan khusus dalam sektor seperti perkhidmatan kewangan dan industri yang menggunakan buruh kasual.

 

“Bersama-sama dengan Frontier e-HR, OS HRS menyasarkan untuk memberikan nilai tambah kepada pelanggan-pelanggan kami melalui inovasi produk, digabungkan dengan kepakaran mendalam bagi menyampaikan khidmat yang cekap," katanya.

 

hr
Shawn Suresh

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Frontier e-HR, Chua Weng Foo berkata, pihaknya teruja untuk menjadi sebahagian daripada pasukan OS HRS dalam usaha membantu lebih banyak syarikat untuk berjaya melalui sistem sumber manusia yang berkesan selaras dengan landskap yang sentiasa berubah.

 

hr
Chua Weng Foo

 

"Kami akan memastikan setiap pelaburan syarikat dalam teknologi HRMS, pengurusan sumber manusia, pengurusan bakat dan penyelesaian penglibatan pekerja akan memberikan pulangan yang optimum kepada pelanggan kami," katanya. - DagangNews.com