Pandemik ubah landskap pelaburan runcit di Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pandemik ubah landskap pelaburan runcit di Bursa Malaysia

Oleh Dr. Norliza Che Yahya

 

 

PANDEMIK COVID-19 dan gelombang jangkitan yang masih belum reda dilihat memberi kesan besar pada ekonomi negara dan mempengaruhi norma kehidupan serta perancangan kewangan masyarakat sekurang-kurangnya dalam jangka pendek.

 

Secara jelas, pandemik COVID-19 juga memberi kesan terhadap keyakinan dan persepsi pelabur terhadap pasaran saham di Malaysia.

 

Hal ini disebabkan oleh kebimbangan para pelabur terhadap ketidakstabilan pasaran saham dan kebarangkalian kejatuhan nilai pelaburan mereka dalam jangka panjang.

 

Ini dapat dilihat dari perubahan landskap pelaburan terutamanya oleh pelabur runcit di Malaysia sejak wujudnya gelombang pandemik ini.

 

Pertama, pelabur runcit di pasaran saham Malaysia dilihat memberi tumpuan kepada penyertaan dan keuntungan jangka pendek.

 

Pelabur runcit merasakan penyertaan dalam pelaburan jangka pendek dapat memberikan risiko lebih rendah kepada mereka dan menggalakkan penyebaran risiko menerusi kepelbagaian aset di dalam portfolio pelaburan.

 

Ini dapat dilihat menerusi "jumlah dagangan luar biasa" oleh pelabur runcit di pasaran saham Malaysia pada tahun lalu.

 

Seperti dinyatakan di Laporan Tahunan 2020 Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, pembelian bersih bernilai RM14.3 bilion oleh pelabur runcit tempatan pada tahun 2020 adalah melebihi RM10.3 bilion oleh pelabur institusi tempatan.

 

Malah kadar penyertaan pelabur runcit di Bursa Malaysia pada tahun lalu, yang berada pada 32.4% dari segi nilai yang diperdagangkan, jauh lebih tinggi dari tahun 2019 di mana penyertaan pelabur runcit hanyalah 20.8%.

 

 

bursa

 

 

Malah peratusan penyertaan ini melepasi purata lima tahun penyertaan pelabur runcit di Bursa Malaysia iaitu 21.4%. Penyertaan pelabur institusi tempatan pada tahun 2020 juga dilihat lebih rendah dengan hanya pada 49.9% berbanding purata penyertaan mereka sepanjang lima tahun iaitu 54.5%.

 

Kedua, pelabur runcit di Malaysia dilihat cenderung memilih saham “penny” disebabkan oleh harga yang lebih rendah.

 

Laporan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengenai penyertaan pelabur runcit menyatakan bahawa 83% jumlah penyertaan pelabur runcit pada bulan Ogos tahun lalu adalah pada saham yang berharga kurang dari 50 sen, sementara 75% pelaburan oleh pelabur runcit adalah saham yang didagangkan di pasaran ACE.

 

Kecenderungan pelabur runcit terhadap saham berharga rendah ini adalah disebabkan oleh persepsi mereka bahawa seiring dengan peluang untuk menjana keuntungan tinggi dari pelaburan dalam jangka masa pendek, kemungkinan berhadapan kerugian dengan jumlah yang sama dalam waktu singkat juga adalah tinggi.

 

Oleh itu, mempraktikkan kepelbagaian saham di dalam portfolio pelaburan mereka menerusi pembelian saham berlainan dengan harga rendah dilihat mampu membantu mengekang kerugian maksimum.

 

Seterusnya, pelabur runcit di Malaysia dilihat memberi tumpuan kepada saham dari sektor kesihatan dan teknologi.

 

Menurut Bank Negara Malaysia, nilai dagangan pelabur runcit domestik meningkat kepada 37.5% menjelang Disember 2020 berbanding 23.4% pada Disember 2019.

 

Ini adalah disebabkan oleh lonjakan prestasi pasaran saham yang dipengaruhi oleh prestasi kukuh oleh saham dari kaunter kesihatan, berdasarkan ramalan baik bagi permintaan global berterusan untuk barang dan perkhidmatan dari sektor ini dalam masa beberapa tahun akan datang.

 

Malah, dengan kadar jangkitan COVID-19 di Malaysia yang masih berada di tahap membimbangkan, ia dilihat mampu mengekalkan permintaan berterusan terhadap barang dan perkhidmatan dari sektor kesihatan.

 

Di samping itu, saham dari sektor teknologi juga dilihat antara pilihan pelabur runcit dari awal kemunculan pandemik ini. Perkembangan teknologi sudah tidak dapat dielakkan lagi.

 

Mahu atau tidak, teknologi menjadi salah satu keperluan masyarakat pada masa ini. Dengan norma kehidupan baru yang membenarkan pekerja bekerja dari rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, industri teknologi perkongsian maklumat secara maya atau dikenali sebagai “cloud” sangat diperlukan.

 

Ini menjadi antara faktor yang mendorong para pelabur runcit memberi perhatian pada saham dari sektor teknologi.

 

Seperti yang kita lihat, walaupun ketika pandemik ini, pelabur runcit di Malaysia berjaya mengubah landskap dan merancang pelaburan mereka dengan sewajarnya, ia bukanlah sesuatu yang mudah tanpa literasi pelaburan yang baik.


 

SC



 

 

Namun, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar mengingatkan ketika sidang media maya sempena pengeluaran Laporan Tahunan SC, pelabur runcit haruslah berhati-hati dan membuat keputusan yang tepat ketika berdagang.

 

"Pelabur perlu mengetahui risiko dan peluang yang terlibat ketika melabur di pasaran saham. Berhati-hatilah dengan ruangan sembang media sosial yang cuba mempengaruhi pelabur untuk membeli atau menjual saham tertentu berdasarkan spekulasi atau khabar angin.

 

Pelabur runcit juga disarankan untuk membuat penilaian perdagangan saham berdasarkan asas, dan tidak terpengaruh dengan khabar angin atau apa yang dipanggil 'FOMO' (few of missing out)”.

 

Di sebalik saranan yang diutarakan, Datuk Syed Zaid Albar juga menyatakan bahawa penyertaan aktif oleh pelabur runcit adalah pencapaian positif dalam pengembangan pasaran saham di negara ini, kerana penyertaan pelabur yang lebih pelbagai dapat mewujudkan pasaran yang sihat, efektif dan kukuh. - DagangNews.com

 

 

norliza
Dr. Norliza Che Yahya adalah Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam