Pasaran hartanah tidak terjejas dengan kenaikan OPR - Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Pasaran hartanah tidak terjejas dengan kenaikan OPR - Juwai IQI

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Mei - Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2% seperti diumum Bank Negara Malaysia (BNM) minggu lalu, dilihat tidak memberi kesan negatif kepada pasaran hartanah pada 2022 dan 2023, demikian menurut Juwai IQI Group.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kashif Ansari berkata, daripada mewujudkan risiko untuk pasaran hartanah, kenaikan OPR mencerminkan pemulihan ekonomi. 

 

Katanya, ia jelas menunjukkan bahawa ekonomi tidak lagi memerlukan sokongan tambahan kadar faedah  rendah.

 

"Jadi, adakah kenaikan kadar ini akan menjejaskan pasaran hartanah pada tahun ini atau 2023? Jawapannya adalah 'Tidak'.

 

"Ini kerana BNM mengambil langkah berhati-hati, dengan sokongan tambahan dilaksanakan bagi menyokong ekonomi yang terkesan akibat pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

Kashif Ansari
Kashif Ansari

 

 

Minggu lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menaikkan OPR yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman domestik sebanyak 25 mata asas kepada 2%.

 

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.25% dan 1.75%.

 

Sepanjang krisis COVID-19, OPR dikurangkan sebanyak 125 mata asas secara kumulatif kepada paras terendah yang belum pernah dicatatkan sebelum ini, iaitu 1.75%, bagi memberi sokongan terhadap ekonomi. 

 

Bagaimanapun, BNM memberi jaminan pengurangan tahap akomodasi monetari akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

 

Menurut Kashif, secara dasarnya inflasi sedang meningkat di kebanyakan negara di dunia, tetapi ia tidak berlaku di Malaysia dengan inflasi utama berlegar sekitar 2.2% dan 3.2% tahun ini. 

 

Beliau menyifatkan, masih terdapat ruang bagi pengambilan pekerja dan aktiviti perniagaan untuk berkembang tanpa menyebabkan inflasi terus melonjak.

 

"Inflasi di negara ini masih lagi terurus dan kebanyakannya disebabkan peningkatan harga komoditi global. 

 

"Malah, rakyat juga menikmati kemudahan subsidi bahan api, sekali gus melindungi mereka daripada kenaikan harga komoditi yang teruk," tambahnya.

 

Kashif berkata, antara 2004 dan 2020, OPR hanya menurun serendah 2% dalam tempoh 8 suku sebelum ini disebabkan krisis kewangan global. 

 

"Tempoh 2 tahun lalu menyaksikan kali pertama dalam sejarah OPR ini diturunkan serendah 1.75%. Walaupun, pada kadar 2%, ia masih lagi kekal dalam paras terendah," jelasnya.

 

Sehubungan itu, beliau percaya, pasaran hartanah akan menunjukkan perkembangan positif tahun ini dan juga 2023, didorong pertumbuhan ekonomi, pendapatan isi rumah dan pasaran pekerjaan.

 

Tambahan pula, katanya, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang sehingga 6.3% tahun ini, bank mengunjurkan permintaan domestik yang kukuh dan eksport lebih tinggi.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan keadaan ekonomi yang positif akan memacu pasaran hartanah untuk meningkat dengan lebih kukuh pada separuh kedua 2022 dan 2023," katanya. - DagangNews.com