Pasaran kembali reda, ringgit lepasi RM4.10 | DagangNews Skip to main content

Pasaran kembali reda, ringgit lepasi RM4.10

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Pasaran masih kekal di atas paras 1,600 mata walaupun susut 5.40 mata kepada 1,604.75 mata apabila ditutup petang ini. 

 

Indeks itu yang susut 0.34% bergerak dalam jajaran antara 1,595.09 hingga 1,611.58 mata dengan 14.14 bilion saham diniagakan bernilai RM5.09 bilion. 

 

Bagaimanapun, kaunter rugi mengatasi untung pada 731 berbanding 473 manakala 456 kaunter tidak berubah. 

 

Dalam kalangan kaunter untung, Batu Kawan Berhad meningkat 1.9% kepada RM16.12 susulan laporan pembelian kepentingan 56.3% saham Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM) dari Permodalan Nasional Berhad (PNB).

 

Saham Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) yang merupakan syarikat pelaburan terbesar Batu Kawan turut ditutup tinggi, naik 1.39% kepada 23.32 mata. 

 

CCM turut meningkat 7.17% kepada RM2.99 menjadikan nilai pasaran syarikat itu, RM501.41 juta. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit terus mengukuh apabila ditutup tinggi pada RM4.0860/0900 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), daripada penutupan semalam, RM4.1020/1060. 

 

Mata wang tempatan itu dibuka tinggi pada RM4.100/1050 berbanding dolar AS.

 

Ringgit terus mengukuh pada hari ketiga berbanding dolar AS susulan sentimen yang lebih positif dalam pasaran tempatan dan serantau. 

 

Namun, menurut Reuters, pasaran saham di peringkat global dilaporkan kembali perlahan ketika data jualan runcit di AS yang lemah meningkatkan kebimbangan terhadap jangkitan COVID-19 akan memberi kesan kepada pemulihan ekonomi yang masih rapuh, sekali gus meredakan keterujaan terhadap eksperimen vaksin. 

 

Ketua Strategi Global Daiwa Securities, Hirokazu Kabeya berkata, pembetulan pasaran tidak dapat dielakkan setelah ia mengalami lonjakan dalam tempoh 10 hari lalu. 

 

Dalam masa sama, dolar AS hari ini mencecah paras terendah seminggu, dengan jangkaan kelemahan mata wang akan berterusan. 

 

Sementara itu, Rakuten Trade Sdn. Bhd. menjangkakan beberapa penembusan di pasaran serantau, menjejaki penurunan semalaman Wall Street kerana para peniaga memutuskan untuk mengaut keuntungan berikutan kenaikan kukuh selepas keputusan pilihan raya AS dan laporan vaksin COVID-19.    

 

"Kami percaya indeks FBM KLCI yang melonjak lebih 10% sejak awal bulan ini, mungkin sukar untuk dikekalkan pada tahap semasa dengan 1,600 mata sebagai sokongan segera (tahap)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Malaysia hari ini dilaporkan telah menandatangani perjanjian dengan China bagi kerjasama pembangunan vaksin COVID-19 yang selamat dan berkesan sebagai antara usaha untuk mengekang wabak tersebut. - DagangNews.com