Pejabat Petra Group yang diketuai Vinod Sekhar diserbu pelbagai agensi penguatkuasa | DagangNews Skip to main content

Pejabat Petra Group yang diketuai Vinod Sekhar diserbu pelbagai agensi penguatkuasa

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Nov - Pelbagai agensi penguatkuasa bertindak menyerbu Pejabat Petra Group selepas dipercayai terlibat dengan kes penggubahan wang terbesar sejak skandal 1MDB disiasat sejak tiga tahun lalu.

 

Difahamkan antara agensi yang terlibat dalam serbuan itu termasuk Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

 

Petra Group adalah syarikat yang mengendalikan rangkaian beberapa syarikat dan organisasi, diketuai Datuk Vinod Sekhar yang merupakan seorang ahli perniagaan yang juga penyokong kuat kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

 

Sumber rapat dengan siasatan tersebut memberitahu MalaysiaNow, serbuan itu dijalankan kira-kira dua minggu lalu di Bangsar, susulan siasatan selama beberapa bulan berhubung dakwaan pengubahan wang dan pengelakan cukai melibatkan ratusan juta ringgit.

 

Sumber turut berkata pegawai penyiasat merampas beberapa dokumen dan barangan sebagai sebahagian daripada siasatan tersebut.

 

Difahamkan juga, serbuan itu dilakukan ketika Vinod berada di luar negara.

 

NFCC dan SPRM enggan membuat sebarang ulasan mengenai perkara itu.

 

Vinod, 53, adalah anak kepada mendiang BC Sekhar yang diiktiraf kerana jasanya memodenkan industri getah Malaysia dan beliau diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi pada 2005 namun dibersihkan daripada status muflis pada tahun lalu.

 

Pada Jun, MalaysiaNow melaporkan Vinod melalui GR Technologies, sebuah syarikat dengan alamat di Bangsar memperoleh bahagian terbesar kontrak bernilai bilion dolar bagi membekalkan alat bantuan pernafasan kepada kerajaan Hungary.

 

Hungary yang membeli alat bantuan pernafasan daripada pelbagai pembekal mencetuskan kekecohan tahun lalu ketika pandemik COVID-19 memuncak di Eropah selepas ahli politik pembangkang menyelar dan mengecam pemberian kontrak kerajaan itu, menyifatkannya sebagai tidak telus selain turut menyebabkan lebihan bekalan alatan tersebut.

 

Vinod mengesahkan menerima kontrak itu namun menegaskan “semuanya mengikut landasan yang betul”, sambil menambah beliau menerima “peratusan biasa” dalam bentuk komisen.

 

Dokumen yang diperoleh MalaysiaNow dari Hungary menunjukkan Budapest bersetuju untuk membayar kepada Vinod sejumlah AS$559,600,000 (RM2.37 bilion) melalui beberapa akaun bank, yang pada masa kontrak diberikan pada Mei 2020 bernilai hampir RM2.43 bilion.

 

Badan pemantau anti-rasuah Transparency International (TI) turut menggesa Hungary untuk mengeluarkan butiran khusus berkaitan kontrak kepada Vinod, menyatakan terdapat persoalan sama ada GR Technologies memenuhi garis panduan ketelusan di negara itu.

 

Cawangan TI di Hungary juga turut mempersoalkan mengapa Budapest bersetuju untuk membayar beberapa fi yang dikenakan GR Technologies kepada pihak ketiga, selain turut mempertikaikan sama ada kerajaan Hungary memberikan kontrak tersebut melalui proses tender terbuka yang kompetitif atau tidak.-Dagangnews.com