Pekebun kecil kelapa sawit diseru manfaatkan insentif yang ditawarkan KPPK | DagangNews Skip to main content

Pekebun kecil kelapa sawit diseru manfaatkan insentif yang ditawarkan KPPK

KUALA LUMPUR 10 Jun - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyeru pekebun kecil kelapa sawit yang layak untuk memohon Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Pembiayaan Mudah (Agro Bank - MPOB).

 

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, di bawah ITa, pekebun kelapa sawit yang menanam nanas layak mendapat insentif RM7,000 sehektar, manakala pekebun yang menanam pisang, tembikai, jagung dan betik pula layak untuk memohon insentif sehingga RM3,000 sehektar.

 

"Insentif ini bertujuan untuk menggalakkan pemilik ladang mempelbagai sumber pendapatan melalui tanaman kontan dan mengoptimumkan penggunaan tanah mereka," katanya dalam satu kenyatan hari ini.

 

Kementerian itu yakin bahawa insentif ini juga boleh membantu meningkatkan pengeluaran sumber makanan dan seterusnya menstabilkan sekuriti makanan dalam negara.

 

Zuraida berkata, mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan dari mana-mana pejabat TUNAS MPOB seluruh negara dan permohonan ini dibuka kepada mereka yang memiliki 6.5 hektar ladang kelapa sawit atau kurang.

 

Sementara itu, beliau berkata, di bawah Skim Pembiayaan Mudah Agro Bank - MPOB pula, pekebun kecil boleh memohon pinjaman untuk membeli benih kelapa sawit, baja, racun perosak dan racun serangga untuk ladang mereka.

 

"Mereka boleh memohon pinjaman bernilai RM2,500 sehektar sehingga RM16,250, dengan tempoh bayaran balik selama 24 bulan pada kadar faedah 2%," katanya.

 

Beliau berkata, pinjaman itu bertujuan membantu pekebun kecil dalam memula dan mengembang perniagaan mereka.

 

"Insentif dan kemudahan ini adalah antara usaha berterusan kementerian untuk meningkatkan taraf hidup pekebun kecil selain mengimbangkan dinamik flora dan fauna bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

 

"Kementerian komited untuk terus membela nasib pekebun kecil dengan tawaran permodenan operasi bagi menjamin kemampanan sumber pendapatan dalam jangka masa panjang," katanya. - DagangNews.com