Pekebun kecil sawit digesa daftar sebagai ahli Koperasi Penanam Sawit Mampan - MPOB | DagangNews Skip to main content

Pekebun kecil sawit digesa daftar sebagai ahli Koperasi Penanam Sawit Mampan - MPOB

Jugah Muyang memukul gong sebagai gimik perasmian Pusat Timbang KPSM Lubok Antu Berhad di Engkilili, Sarawak. - Gambar MPOB

KUCHING 2 Julai - Pekebun kecil industri sawit digesa mendaftar sebagai ahli Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) bagi merebut faedah yang boleh diperoleh melalui aktiviti koperasi itu, kata Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Jugah Muyang. 

 

Beliau berkata sejak penubuhan koperasi itu pada 2010, sejumlah 69 KPSM telah diwujudkan melibatkan sebanyak 24 KPSM di Semenanjung, Sabah (27) dan Sarawak (18) setakat Mei lepas. 

 

“KPSM boleh menjalankan perniagaan yang memberi kesan langsung kepada peningkatan pendapatan ahli seperti jualan buah tandan segar (BTS) berkelompok dan pembelian input secara pukal.

 

“Koperasi juga boleh terlibat dalam perniagaan lain untuk memperkukuh status kewangan koperasi yang kemudian boleh diagih sebagai dividen kepada ahli.

 

“Saya cukup yakin bahawa dengan memanfaatkan bantuan yang disediakan kerajaan dan kesediaan pekebun kecil untuk menyahut seruan melaksanakan penanaman sawit secara mampan, pekebun kecil akan mendapat pulangan hasil dan pendapatan yang lumayan,” katanya dalam ucapan merasmikan Pusat Timbang KPSM Lubok Antu Berhad di Engkilili, kira-kira 220 km dari sini, Jumaat.

 

Jugah turut menyarankan pengusaha ladang dan pekebun kecil bekerjasama dengan pegawai MPOB untuk mendapatkan pendedahan tentang penggunaan teknologi dan teknik baharu dalam industri itu untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka. 


 

Jugah Muyang
                  Jugah Muyang

 

 

Setakat 31 Mei lepas, katanya sebanyak 32 buah Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di negeri ini telah menerima Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) melibatkan 32,140 pekebun kecil persendirian.

 

Turut hadir Pengerusi KPSM Lubok Antu Selutan Angie, Ketua Stesen Penyelidikan MPOB Sessang Dr Mohd Arfan Johari dan Ketua MPOB Wilayah Sarawak Murphy
Solomon. - DagangNews.com