Skip to main content

Pelabur akan teruja dengan hala tuju sifar karbon TNB - Maybank IB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Para pelabur dijangka teruja terhadap sasaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050 selain prospek pemulihan perolehan kumpulan bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

Ini selepas TNB secara rasmi mendedahkan aspirasi kumpulan untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon dan bebas daripada operasi batu arang menjelang tahun berkenaan, menurut penganalisis di Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB), Tan Chi Wei.

 

“TNB berhasrat untuk tidak meraih kepentingan baharu di dalam loji batu arang baharu dan mempercepatkan pelaburan di dalam teknologi hijau yang sedang muncul, di mana berdaya maju dari segi ekonomi.

 

“Kami mengekalkan unjuran perolehan ke atas kumpulan dan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM12 sesaham,” jelas Chi Wei dalam satu nota kajian.

 

Pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21), keuntungan bersih TNB melonjak 25.75% kepada RM821.5 juta, daripada RM653.3 juta yang dicatatkan tempoh sama pada tahun lalu, dipacu oleh keuntungan operasi yang lebih tinggi. 

 

Bagi prestasi kewangan pada 1HFY21 pula, TNB melaporkan pemulihan berperingkat di sebalik situasi pandemik COVID-19 semasa.  

 

Baca : TNB sasar sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050

 

Kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) bernilai RM1,823.5 juta, meningkat daripada RM1,412.7 juta pada tempoh sama tahun lalu, tetapi masih lebih rendah berbanding PAT 1HFY19 sebelum pandemik iaitu RM2,651.3 juta.

 

Tambah Chi Wei, prestasi TNB bagi suku tahun semasa sejajar dengan unjuran Maybank IB, tetapi lebih tinggi daripada ramalan konsensus.

 

Secara keseluruhannya, Maybank IB mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham kumpulan. - DagangNews.com