Pelabur asing terus jual ekuiti Malaysia, tapi pada jumlah kecil - MIDF | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing terus jual ekuiti Malaysia, tapi pada jumlah kecil - MIDF

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Pelabur asing terus menjual ekuiti Malaysia untuk lima minggu berturut-turut, setakat 23 Julai lalu yang mencecah nilai -RM147.87 juta. 

 

Namun, kadar penjualan bersih oleh mereka semakin menurun, di mana menyusut -17.6% berbanding dua minggu lalu, menurut MIDF Research. 

 

“Sebaik pasaran dibuka semula pada Isnin (minggu lalu), pelabur asing merupakan pembeli bersih berjumlah RM7.97 juta. Sementara pelabur institusi tempatan menjual -RM105.99 juta ekuiti tempatan, dengan pelabur runcit sebagai pembeli bersih berjumlah RM98.02 juta. 

 

“Pelabur asing merupakan penjual bersih pada Rabu dan Jumaat. Aliran keluar asing terbesar dicatatkan pada Rabu dengan aliran keluar terendah pada Jumaat, masing-masing bernilai -RM146.95 juta dan -RM41.61 juta. 

 

“Sementara itu, pembelian bersih terbesar dicatatkan pada Khamis, berjumlah RM32.72 juta,” jelas MIDF dalam satu nota kajian.

 

Bagi pelabur runcit pula, mereka merupakan pembeli bersih setiap hari pada minggu lalu, dengan pembelian terbesar pada Isnin, RM98.02 juta dan terendah pada Jumaat bernilai RM6.98 juta. 

 

Secara terkumpul pada minggu lalu, pelabur runcit telah membeli bersih RM154.68 juta jumlah ekuiti di Bursa Malaysia. 

 

Sementara pelabur institusi tempatan pula mencatatkan penjualan bersih terkumpul mingguan berjumlah -RM6.80 juta. 

 

“Pelabur institusi tempatan menjual bersih pada Isnin dan Khamis dengan penjualan bersih terbesar pada Isnin, berjumlah -RM105.99 juta.

 

“Sejak awal tahun 2021, secara terkumpul, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti kita bernilai RM8.71 bilion. 

 

“Pelabur institusi tempatan dan asing merupakan penjual bersih, masing-masing berjumlah -RM3.75 bilion dan -RM4.96 bilion,” tambah MIDF.  - DagangNews.com