Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 7 July 2021

PELABUR PERLU BERHATI-HATI DENGAN PASARAN VUCA SEKARANG

 

 

MINGGU ini, Bursa Malaysia dibuka dengan keadaan pasaran yang masih tidak stabil. Pelabur masih lagi memantau pasaran saham berkaitan banyak lagi isu yang masih menjadi tanda aras kestabilan pasaran saham.

 

Lengkungan COVID-19 masih gagal diratakan oleh kerajaan, PKP 3.0 yang disambung, Overnight Policy Rate (OPR) dan prospek ekonomi terus menjadi tanda tanya yang membawa kestabilan ekonomi di Malaysia. Kesan daripada semua perkara ini membawa  pasaran saham di Malaysia berada dalam keadaan VUCA.

 

Apakah itu VUCA?

VUCA merujuk kepada V untuk volatility (kemeruapan), U untuk uncertainty (ketidakpastian), C untuk complexity (kerumitan) dan A untuk ambiguity (kekaburan).

 

 

volatiliti

 

 

 

Keadaan Volatility apabila keadaan pasaran saham yang berubah dengan begitu pantas. Apabila pasaran saham ini bergerak dengan pantas, pelabur tidak sempat untuk mengejar atau mengambil peluang.

 

Ketika pasaran saham high volatility, perubahan harga saham-saham akan rancak berlaku dalam pasaran. Harga naik atau turun dengan laju menyebabkan harga sentiasa berubah-ubah dengan pantas. Keadaan ini membawa risiko kepada pelabur jika tersilap langkah tetapi bagi pelabur yang mampu mengambil peluang atas keadaan high volatility ini pula boleh meraih pulangan yang tinggi.

 

Dalam situasi berlainan, jika pasaran saham mengalami low volatility, pasaran saham akan berada dalam keadaan flat yang mana pergerakan harga saham terlalu kecil dalam satu jangka masa yang lama.

 

Isnin lalu, pasaran saham ditutup dengan keadaan yang tidak berubah daripada minggu sebelumnya. Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.99 mata kepada 1,532.36 daripada 1,533.35 semasa ditutup pada Jumaat minggu lalu. Keadaan ini menunjukkan pasaran saham hampir tidak berubah.

 

Saham pandu pasaran dibuka tinggi 0.69 mata kepada 1,534.04 dan bergerak antara 1,525.40 dan 1,535.88 sepanjang hari.

 

Awal minggu ini,  dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 526 berbanding 503, manakala 402 kaunter tidak berubah, 742 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

 

Pelabur boleh mengukur volatility bagi sesuatu saham sama ada tinggi atau pun rendah dengan membuat perbandingan antara total share dan total outstanding share. Jika floating share saham tersebut di bawah 50%,ini bermakna saham tersebut amat sensitive dan harga saham tersebut mufdah berubah.

 

Saham yang floating share di bawah 50% dianggap dikatakan ringan dan jika ringan ia akan mudah volatile.  Pelabur juga perlu melihat volume dagangan harian saham tersebut untuk membuat keputusan dalam pembelian saham. Kebiasaannya pelabur akan mengambil relative volume 3 kali ganda lebih besar daripada purata volume (average volume).

 

Uncertainty pula adalah satu keadaan yang tidak pasti atau ketidaktentuan. Dalam keadaan semasa, pasaran saham di Malaysia masih lagi berada dengan keadaan yang tidak menentu hala tujunya lagi. Isu pandemik negara terus mempengaruhi ekonomi pelaburan di Malaysia.

 

Laporan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), FDI di Malaysia turun sebanyak 56% daripada RM31.7 bilion kepada RM13.9 bilion pada tahun 2020. Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perdagangan dan pembangunan pula melaporkan, penurunan FDI Malaysia pada kadar 68% merupakan kadar yang terburuk.

 

Usaha kerajaan dengan beberapa insentif cukai di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi memacu aktiviti pelaburan, termasuk pengecualian cukai bersyarat selama 10 hingga 15 tahun untuk FDI dalam sektor pembuatan dengan modal pelaburan sebanyak RM300 juta atau lebih.

 

 

volatiliti

 

 

Selain itu, inisiatif khusus yang diperkenalkan seperti penubuhan Unit Penyelarasan dan Pemecutan Projek (PACU) di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta pelbagai platform dalam talian seperti i-insentif yang turut mempercepat usaha merealisasikan pelaburan di Malaysia.

 

Walaupun kerajaan berusaha untuk menarik FDI ke Malaysia dengan pelbagai insentif, keadaan pasaran saham di Malaysia yang masih berada dalam keadaan Uncertainty  mendorong pelabur asing  yang di Bursa Malaysia menjual ekuiti tempatan.

 

Minggu lalu sahaja, menyaksikan aliran keluar sebanyak RM499.25 juta manakala Isnin baru ini pula, pelabur asing menjual RM126.69 juta bersih ekuiti tempatan, dengan pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing sebagai pembeli bersih berjumlah RM1103.32 juta dan RM23.37 juta.

 

Complexity adalah kerumitan. Complexity dalam pasaran saham ini dipengaruhi oleh faktor ekonomi tempatan dan global. Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) telah mengumumkan bahawa kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2021 ialah -0.5% dari tahun ke tahun, iaitu penguncupan yang jauh lebih kecil berbanding -3.4% pada suku keempat tahun 2020.

 

Walaupun kadar ini mencerminkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan dan menunjukkan bahawa negara terus menuju ke arah pemulihan namun pasaran saham masih lagi mengalami Complexity untuk diramal.

 

Situasi semasa di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 11.19 mata kepada 11,149.72, Indeks FBMT 100 merosot 15.43 mata kepada 10,857.99 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 12.84 mata kepada 12,163.27.

 

FBM ACE pula melonjak 117.81 mata kepada 7,329.02, manakala FBM 70 susut 53.45 mata kepada 14,396.88. Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 10.43 mata kepada 15,117.02; Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.09 mata kepada 188.02 dan Indeks Perladangan berkurangan 34.25 mata kepada 6,381.57. Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 4.84 bilion saham bernilai RM2.93 bilion daripada 3.72 bilion saham bernilai RM2.35 bilion pada minggu lalu.

 

Ambiguity pula merujuk kepada kekaburan. Menurut Kenny Yee selaku Ketua Penyelidik Rakuten Trade, FBM KLCI tiada hala tuju yang jelas buat masa ini. Keadaan semasa melihat kepada pemilikan dana asing dalam pasaran saham tempatan, kelihatan ia semakin menyusut dari sebulan ke sebulan. Menurut Kenny lagi tidak nampak bahawa ‘jerung-jerung’ asing dan tempatan akan kembali membuat pembelian.

 

Dalam satu kajian yang berlainan pula, CGS-CIMB Securities menyifatkan 2021 sebagai tahun lebih baik untuk pasaran ekuiti tempatan berikutan pemulihan ketara pendapatan korporat, sekali gus menyaksikan pertambahan jumlah mudah tunai. Menurut firma penyelidikan ini, kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) juga boleh menarik minat semula pelabur asing ke pasaran saham tempatan.

 

Dalam pasaran VUCA ini, pelabur boleh mengimbangi portfolio pelaburan dengan memilih aset yang mempunyai ciri-ciri yang berbeza bagi mengurangkan risiko kerugian.

 

Mempelbagaikan pelaburan ke aset yang mempunyai ciri yang berbeza adalah langkah terbaik semasa pasaran saham berada dalam keadaan VUCA ini.  Namun begitu ia bergantung kepada tahap risiko yang sanggup diambil oleh pelabur.  Bak kata orang, high risk, high return!  - DagangNews.com

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

 

Portfolio Tags