Pelaksanaan cukai cecair Vape bernikotin masih kabur 2 hari sebelum pelaksanaan | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan cukai cecair Vape bernikotin masih kabur 2 hari sebelum pelaksanaan

 

KUALA LUMPUR 29 Dis – Industri vape tempatan menggesa kerajaan untuk segera memberi kata putus berhubung pelaksanaan cukai untuk cecair vape bernikotin yang bakal dilaksanakan bermula 1 Januari 2022 yang juga memerlukan Kerajaan menetapkan kadar maksimum nikotin dalam cecair vape.

 

Pada pembentangan Belanjawan 2022 Oktober lepas, cukai vape dinaikkan sebanyak 200% ke kadar RM1.20 bagi setiap mililiter cecair dan ia turut termasuk cecair vape yang mengandungi nikotin.

 

Pihak industri telah memohon agar Kerajaan mengkaji semula kadar tersebut kerana ia adalah terlalu tinggi.

 

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan masih belum menetapkan kata putus berkaitan kadar maksimum nikotin dalam cecair vape untuk industri bersiap-sedia sebelum 1 Januari 2022.

 

Menurut Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria, pihak industri masih tidak menerima sebarang kata putus mengenai pandangan yang diberikan berkenaan kadar cukai yang tinggi tersebut dan kadar maksimum nikotin untuk cecair vape.

 

Beliau berkata, pihak industri juga memohon kerajaan untuk segerakan penyampaian maklumat berhubung perkara itu.

 

“Pengeluar dan pengilang masih tiada kepastian berkenaan kadar cukai yang bakal dilaksanakan dan kadar maksima nikotin dalam cecair vape yang ditetapkan untuk penjualan.

 

‘’Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk memasuki tahun 2022 dan industri masih tiada maklumat yang diperlukan untuk membuat persediaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


 

Rizani Zakaria
                                              Rizani Zakaria

 


Rizani berkata, Kerajaan tidak boleh melengah-lengahkan perkara ini kerana ia akan memberi kesan kepada pengeluar dan pengilang dari segi pengurusan operasi dalam industri vape sekiranya maklumat tidak diperoleh sebelum pelaksanaan dilakukan.

 

Menurutnya, kadar cukai yang diumumkan itu sudah pasti akan mengakibatkan kenaikan harga cecair vape.

 

‘’Kerana itu pengeluar dan pengusaha perlu membuat persiapan awal sebelum memasuki tahun baru bagi mengelakkan sebarang gangguan pada operasi,’’ ujarnya.

 

Malah, kadar maksimum nikotin dalam cecair vape juga akan memerlukan produk yang melebihi aras tersebut tidak terjual dalam pasaran.

 

Semua ini memerlukan persediaan dan industri sehingga kini masih tidak lagi menerima sebarang makluman dari Kerajaan.

 

Berkenaan kadar maksimum nikotin, industri juga memohon Kerajaan mengikut contoh yang ditetapkan di negara lain seperti di Amerika Syarikat dan Filipina di mana kadar maksima yang ditetapkan adalah 65mg setiap mililiter.

 

Juga terdapat contoh di New Zealand di mana kadar maksimum adalah 50mg setiap mililiter manakala kebanyakan negara Eropah adalah di kadar 20mg setiap militer.

 

“Pihak industri sememangnya menyokong segala usaha dan tindakan kerajaan dalam menjadikan industri ini dikawal dengan peraturan dan bersedia untuk mematuhi sebarang garis panduan yang disediakan. Kami berharap Kerajaan dapat memberikan maklum balas dengan segera berkenaan perkara ini,” kata Rizani.

 

MVIA ialah sebuah kumpulan kepentingan khusus yang tidak berlandaskan keuntungan dalam menyokong usahawan dan perniagaan vape Malaysia.

 

Matlamatnya ialah untuk mewakili industri vape dengan menyampaikan suara industri kepada badan kerajaan, pihak berkuasa kawal selia, agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan yang lain. – DagangNews.com