Pelancaran SIRIM Trusted Mark Scheme (STMS) langkah pemerkasaan e-dagang di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pelancaran SIRIM Trusted Mark Scheme (STMS) langkah pemerkasaan e-dagang di Malaysia

Nur Fadhilah Muhammad (kiri) dan Cheanf Kiat Cheong (kanan) menunjukkan dokumen MoU, disaksikan oleh Dr. Ahmad Sabirin Arshad (dua dari kiri) dan Mahadhir Aziz (dua dari kanan) semasa Majlis Pelancaran SIRIM Trusted Mark Scheme di Shah Alam pada 25 November 2021.

 

 

SHAH ALAM 25 Nov –  SIRIM QAS International Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad melancarkan SIRIM Trusted Mark Scheme (STMS) bagi produk peralatan komunikasi, elektrik dan hibrid, bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC).

 

SIRIM Trusted Mark Scheme yang berasaskan kepada skim pensijilan produk ISO/IEC 17065 akan membolehkan peniaga yang diiktiraf untuk memaparkan simbol Trusted Partner di kedai atas talian mereka pada platform e-Dagang.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato’ Dr. Ahmad Sabirin Arshad dalam ucapannya berkata, STMS bertujuan membantu peniaga dalam talian untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran produk serta meningkatkan trafik ke kedai dalam talian mereka, selain memperkasakan pengguna untuk membuat keputusan pembelian yang lebih baik dengan meluaskan pilihan mereka bagi mendapatkan produk yang berkualiti dan selamat dari sumber yang diyakini.

 

Acara yang diadakan secara hibrid iaitu fizikal dan dalam talian ini dihadiri oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato’ Dr. Ahmad Sabirin Arshad; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Mahadhir Aziz; Ketua Pegawai Kewangan Lazada, Cheang Kiat Cheong dan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, Nur Fadhilah Muhammad.

 

Selain itu, turut hadir wakil daripada Panasonic Malaysia, Brother International Malaysia dan Rainbow Distribution, pengedar sah Xiaomi di Malaysia.

 

Ahmad Sabirin turut menyatakan bahawa pengenalan STMS adalah suatu usaha menangani kekhuatiran tentang   kredibiliti penjual dalam talian terutamanya berikutan  pertumbuhan e-Dagang di Malaysia yang telah berkembang bagi enam suku berturut-turut sejak Mac 2020.

 

“Sebagai contoh, pada tahun 2020 terdapat peningkatan 112.5% bilangan aduan berkaitan pembelian atas talian berbanding tahun 2019.

 

‘’Tambahan pula, terdapat risiko yang lebih tinggi untuk sesuatu peralatan elektronik, elektrik dan multimedia itu rosak atau tidak memenuhi standard jika dibeli secara dalam talian. Ini boleh membawa kepada masalah pengoperasian dan juga kemalangan yang tidak diingini,” katanya.

 

Sirim
CONTOH LOGO SIRIM TRUSTED MARK SCHEME

 


SIRIM QAS International juga telah mengadakan acara pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Lazada Malaysia yang membolehkan Lazada Malaysia menjadi rakan rasmi SIRIM QAS International.

 

Sehubungan dengan itu, Lazada Malaysia juga akan menjalankan aktiviti promosi untuk STMS termasuk mewujudkan kedai khas STMS (STMS Flagship Store) di platform LazMall, meletakkan logo STMS pada halaman produk penjual yang telah diperakui oleh STMS, serta mengadakan jualan kilat untuk menggalakkan para pembeli untuk membeli daripada penjual yang diiktiraf.

 

Ahmad Sabirin turut berkata, “Kerjasama ini akan membantu dalam usaha mempromosi Lazada Malaysia sebagai sebuah platform membeli-belah dalam talian yang dipercayai pengguna bagi mereka membuat pembelian barangan seperti peralatan komunikasi, perkakasan elektrik dan produk hibrid yang berkualiti dan mematuhi standard keselamatan.”


 

Sirim
 Dr. Ahmad Sabirin Arshad (dua dari kanan) melancarkan SIRIM Trusted Mark Scheme sambil disaksikan oleh Mahadhir Aziz (kanan), Cheang Kiat Cheong (kiri) dan Nur Fadhilah Muhammad (dua dari kiri).

 


Mengenai memorandum tersebut, Ketua Pegawai Kewangan Lazada, Cheang Kiat Cheong berkata, “Kami amat berbesar hati dapat membentuk kerjasama dengan SIRIM QAS International bagi melancarkan SIRIM Trusted Mark Scheme (STMS) menerusi Lazada sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membina ekosistem perdagangan digital yang melindungi pengguna.

 

‘’Ini juga akan membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara SIRIM QAS International dan Lazada, sebagai langkah pertama dalam merealisasikan visi kami untuk membina pasaran e-Dagang yang berasaskan kepercayaan tinggi antara  penjual dan pembeli yang mementingkan peralatan elektronik yang diperakui, dipercayai, selamat dan diiktiraf,” ujarnya.

 

Ahmad Sabirin juga memaklumkan bahawa STMS telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang 2.0 di bawah seliaan MDEC dengan sasaran untuk memperkukuhkan ekosistem e-Dagang di Malaysia.

 

Majlis berkenaan diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil daripada Rainbow Distribution, Panasonic dan Brother International sebagai pengiktirafan di atas komitmen mereka dalam menetapkan standard yang cemerlang dan sokongan yang diberikan kepada STMS semasa pelancaran awalnya pada awal tahun ini. – DagangNews.com