Pelupusan MSM Perlis kepada FGV Integrated Farming dapat kelulusan pemegang saham | DagangNews Skip to main content

Pelupusan MSM Perlis kepada FGV Integrated Farming dapat kelulusan pemegang saham

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) mengumumkan pemegang saham telah meluluskan penjualan semua kepentingan ekuiti di dalam MSM Perlis Sdn Bhd (MSM Perlis) kepada FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF).

 

Pelupusan anak syarikat milik penuh MSM itu melibatkan penjualan awal berjumlah RM175 juta tunai yang merangkumi 11 bidang tanah pertanian dan perindustrian, tertakluk kepada pelarasan modal kerja bersih dan hutang bersih setelah selesai urusan pelupusan seperti yang dicadangkan. 

 

Pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti di MSM Perlis dianggarkan memberikan hasil sebanyak RM91.6 juta selepas proses pelupusan tersebut selesai. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, strategi ini telah mencerminkan prestasi kewangan yang progresif sejak suku keempat 2020 (4Q20), sebahagiannya disumbangkan oleh peningkatan dalam kebolehupayaan operasi. 

 

Syed Feizal Syed Mohammad
Syed Feizal Syed Mohammad

 

“Secara strategik, penamatan operasi yang tidak strategik tersebut telah menyatukan sehingga 200,000 tan jumlah pengeluaran beserta penempatan semula tenaga kerja yang berkelayakan dan pakar ke MSM Johor dan kilang penapisan di Pulau Pinang, MSM Prai Berhad (MSM Prai) dalam melancarkan momentum pengeluaran dan mengoptimumkan kadar penggunaan kapasiti (UF). 

 

“UF di peringkat kumpulan dijangka mencapai sehingga 65%, dengan pencapaian UF MSM Prai dan MSM Johor masing-masing sebanyak 80% dan 50% pada akhir tahun ini,” jelas beliau ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa yang dianjurkan secara dalam talian hari ini. 

 

Menurut kenyataan MSM, Perjanjian Penjualan Saham (SSA) telah mendapat kelulusan dan dipersetujui oleh kedua belah pihak pada Jun 2021. 

 

Pelupusan aset bukan teras merupakan sebahagian daripada strategi pemulihan MSM, ke arah mengoptimumkan aset operasi kumpulan dan mengukuhkan perbelanjaan modal. 

 

Keseluruhan sektor perladangan di MSM Perlis telah ditamatkan operasi sejak 15 September 2019 susulan kos operasi yang tinggi untuk penyelenggaraan yang memberikan kesan komitmen kewangan tidak mampan. 

 

Sementara itu, operasi penapisan gula pula dihentikan pada 30 Jun 2020 sejajar dengan strategi operasi rasionalisasi kumpulan untuk menyatukan kapasiti pengeluaran ke kilang penapisan baharu iaitu MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd (MSM Johor).

 

Penamatan operasi tidak strategik MSM dipersetujui secara bersama oleh Ahli Lembaga Pengarah MSM selepas mengambil kira pelarasan aliran tunai dan lain-lain faktor operasi ke arah memastikan pertumbuhan yang mampan dalam memberikan nilai yang wajar dan terbaik kepada para pemegang saham. 

 

MSM terus merekodkan prestasi keuntungan untuk separuh tahun pertama 2021 (1H21) dengan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM 64.55 juta berbanding Kerugian Sebelum Cukai (LBT) sebanyak RM 52.52 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, didokong oleh margin dan penggunaan kapasiti yang kukuh serta kos kewangan yang lebih rendah.

 

Peningkatan purata harga jualan dalam segmen pasaran borong dan segmen premium Industri dan Eksport Gula Bertapis telah meningkatkan pendapatan kumpulan lebih tinggi sebanyak RM1.07 billion berbanding RM 959.58 juta pada 1H20. - DagangNews.com