Skip to main content

Pemain industri kreatif perlu berani, keluar dari kebiasaan untuk tembusi pasaran global

Tan Sri Annuar Musa (tengah) sebagai ketua deligasi Malaysia ke Marche Du Film beramah mesra bersama pemain industri kreatif pada Marche du Film yang berlangsung di Palais de Festival, Perancis bermula dari 17 hingga 25 Mei ini. Turut mengiringi Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim. - Gambar Bernama
Daripada Nur Adila Abdul Wahab

CANNES (Perancis) 18 Mei - Pemain industri kreatif negara perlu berani untuk keluar daripada kebiasaan bagi membolehkan kandungan kreatif negara menembusi pasaran global, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

 

Beliau berkata, pemain industri perlu mencari mekanisme, supaya kandungan kreatif negara tidak dilihat sebagai pasaran yang bersifat 'fragmented', dan seterusnya menggunakan kekuatan yang ada untuk mengetengahkan produk negara ke peringkat antarabangsa.

 

“Saya diberitahu oleh salah seorang (dalam industri) bahawa Malaysia punya pasaran sangat berpecah kerana filem Melayu orang Melayu tonton, filem Cina orang Cina tonton, filem India orang India tonton. Jadi kita punya pasaran dah relatifnya memang kecil berbanding dengan Thailand, Filipina atau Indonesia.

 

“Tapi cuba kita cari jalan, bagaimana kita boleh menggunakan itu sebagai satu kekuatan. Ini yang saya nak suruh FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) bekerjasama dengan beberapa penerbit filem, untuk menggunakan kekuatan kita yang bersifat pelbagai bahasa, bukan sahaja orang kita boleh bercakap bahasa Inggeris yang bagus, jadi boleh pergi ke antarabangsa tetapi orang kita boleh bercakap Mandarin, Tamil dan Melayu,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemain industri kreatif yang menyertai pameran filem antarabangsa terbesar dunia, Marche Du Film (MARCHE 2022), di Pavilion Malaysia di Palais des Festival, di sini semalam.

 

Marche Du Film merupakan sebuah pasaran filem terbesar dunia yang mengumpulkan ramai penerbit, pemodal, penyiar, pengedar, pembekal serta pembeli filem dari serata dunia, untuk membina jaringan penjualan kandungan kreatif di peringkat global, selain berkongsi pandangan dan prospek projek filem.

 

Annuar mengetuai delegasi Malaysia terdiri daripada 13 syarikat tempatan yang menyertai pameran filem selama sembilan hari itu bermula hari ini, dengan 10 syarikat hadir secara fizikal manakala tiga syarikat hadir secara dalam talian.

 

 

kkomm

 

 

Mengulas lanjut, Annuar berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhasrat untuk membina semula industri filem negara, memandangkan industri itu mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi negara sekali gus mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

 

“Saya nak suruh cuba kepada satu, dua filem dan saya berani untuk ambil beberapa langkah di luar daripada kebiasaan, iaitu mana-mana penerbit yang mengemukakan cadangan yang saya rasa ada nilai yang kerajaan boleh bagi dokongan, mungkin kita boleh bagi layanan istimewa ataupun program khas, tapi kita nak pupuk dia bersama-sama untuk membawa mereka ke aras yang selanjutnya.

 

“Terdapat beberapa penerbit filem yang bagus, muda dan berbakat yang perlu diberikan peluang, untuk buat sesuatu yang besar, untuk dibawa mereka ke aras selanjutnya. Mereka patut terajui industri ini,” katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan juga tidak boleh dilihat sebagai pengawal selia semata-mata, sebaliknya perlu lebih proaktif dan bersifat mesra kepada industri itu, dalam membantu pemain industri memasarkan produk mereka di peringkat antarabangsa.

 

Dalam pada itu, Annuar menggesa pemain industri kreatif menggunakan Marche Du Film sebagai platform untuk mempromosi, sekali gus menjual produk kandungan kreatif masing-masing ke peringkat antarabangsa, Bernama melaporkan.

 

“Kita perlu lakukannya segera. Jangan jadikan pameran ini sebagai tempat melancong sebaliknya sebagai platform kerja. Kita perlu serius, jumpa orang yang betul. Keluar dan buat kontak dan tempatkan diri anda untuk pegi global,” katanya.

 

Terdahulu, Annuar meluangkan masa kira-kira satu jam bertemu dengan delegasi Malaysia serta melihat produk kandungan kreatif syarikat masing-masing, yang dipasarkan di pameran filem itu. - DagangNews.com