KUALA LUMPUR 30 Nov - Pertumbuhan pembiayaan bersih pada Oktober meningkat sedikit kepada 4.0% berbanding 3.9% pada bulan sebelumnya mencerminkan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi berikutan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang sederhana.
Dalam laporan perkembangan monetari dan kewangan bagi Oktober 2021, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat kepada 3.7% berbanding 3.2% pada September disebabkan pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi merentas semua tujuan.
"Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul berada pada paras 3.1% pada Oktober berbanding 2.3% pada bulan sebelumnya, terus disokong oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih tinggi, kekal berada di atas paras yang pernah dicatatkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut BNM, kualiti aset bank kekal kukuh pada Oktober dengan nisbah pinjaman terjejas kasar keseluruhan menurun sedikit kepada 1.5% daripada 1.6% pada September didorong oleh segmen isi rumah.
Katanya, bank-bank terus membantu peminjam berdaya maju yang menghadapi kesukaran kewangan sementara melalui pakej bantuan bayaran balik pinjaman.
"Bank-bank juga terus berhemat dalam peruntukan kerugian pinjaman. Jumlah peruntukan yang disediakan bagi menghadapi kemungkinan kerugian kredit berada pada 1.9% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan," jelasnya.
Ia juga menyaksikan kedudukan mudah tunai dan pendanaan sistem perbankan kekal menyokong aktiviti pengantaraan.
Pada akhir Oktober 2021, nisbah perlindungan mudah tunai sistem perbankan (LCR) kekal kukuh pada 153.3% berbanding 154.4% pada September.
"Nisbah pinjaman kepada dana dan nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti juga terus stabil masing-masing pada 81.6% dan 71.1%.," katanya.
BNM berkata, sentimen pelabur global pada Oktober didorong oleh peningkatan jangkaan terhadap Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk mula mengurangkan program pembelian asetnya menjelang akhir tahun ini.
Kesannya, kadar hasil bon global termasuk penanda aras kadar hasil MGS 10 tahun meningkat seiring dengan kenaikan kadar hasil US Treasury jangka panjang.
"Di dalam negeri, sentimen pelabur disokong oleh suasana optimis berhubung dengan prospek pertumbuhan dalam negeri susulan pelonggaran sekatan perjalanan merentas negeri dan antarabangsa mulai 11 Oktober 2021.
"Hasilnya, FBM KLCI meningkat 1.6% dan ringgit menambah nilai sebanyak 1.1% berbanding dolar AS.
"Harga komoditi yang lebih kukuh turut memberikan sokongan selanjutnya kepada kadar pertukaran ringgit," katanya.
Pada Oktober turut menyaksikan inflasi keseluruhan meningkat kepada 2.9% berbanding September, 2.2% disebabkan terutamanya oleh berakhirnya diskaun bil elektrik 3 bulan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Diskaun elektrik yang berakhir ini telah menyumbang 0.6 mata peratusan kepada inflasi keseluruhan.
Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, turut meningkat sedikit pada 0.7% (September: 0.6%) disebabkan oleh pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.
Dalam pada itu, bank pusat berkata, eksport meningkat sebanyak 25.5% pada Oktober berbanding 24.7% pada September, mencerminkan permintaan yang terus kukuh merentas produk dan pasaran eksport Malaysia.
Pada masa hadapan, katanya, prestasi eksport akan terus mendapat manfaat daripada peningkatan teknologi global.
"Selain itu, permintaan kukuh terhadap produk perkilangan bukan E&E dan harga komoditi yang lebih tinggi akan melonjakkan lagi pertumbuhan eksport.
"Bagaimanapun, prestasi perdagangan terus bergantung pada perkembangan pandemik, di samping perkembangan gangguan rantaian bekalan global yang berterusan," jelas BNM dalam laporan berkenaan. - DagangNews.com