Skip to main content

Pembinaan kilang baharu dijangka kurangkan kebergantungan Orgabio kepada tenaga kerja manual

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jun - Mercury Securities menjangkakan langkah Orgabio Holdings Berhad membina kilang baharu yang dilengkapi mesin dengan teknologi moden akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.

 

Firma itu berkata, langkah itu juga akan meningkatkan kapasiti pengeluaran selain meningkatkan kecekapan oeprasi kumpulan.

 

"Pada masa sama, mereka dijangka dapat meluaskan asas pelanggan dalam segmen jualan langsung selain menyokong pengembangan jualan eksport mereka.

 

"Segmen jualan langsung ketika ini menyumbang sebanyak 80.6% jualan keseluruhan kumpulan pada FY21 manakala eksport menyumbang 21.9% kepada pendapatan kumpulan bagi 1HFY22.

 

"Jangkauan kepelbagaian untuk pasaran eksport termasuk negara seperti Singapura, China, UAE, Jepun, Rusia dan Taiwan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pemacu utama pertumbuhan kumpulan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh keperluan yang semakin meningkat untuk kemudahan dalam pasaran Malaysia dan inisiatif kerajaan untuk mempromosikan produk pembuatan Halal.

 

Di peringkat antarabangsa, Malaysia merupakan antara 5 pengeksport ekstrak kopi terbaik dunia yang mewakili 7.49% daripada eksport global pada tahun 2020. 

 

"Kami menjangkakan permintaan global untuk kopi pracampuran akan berkembang pesat pada masa akan datang," katanya.

 

Firma itu menyarankan 'langgan' untuk saham Orgabio dengan harga sasaran RM0.38 sesaham.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan risiko harga bahan mentah dan tukaran wang asing yang tidak stabil selaian kemelesetan ekonomi yang akan menjejaskan operasi mereka secara keseluruhan. - DagangNews.com