Pembukaan semula sempadan negara bakal beri kesan serta-merta kepada pasaran hartanah : Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Pembukaan semula sempadan negara bakal beri kesan serta-merta kepada pasaran hartanah : Juwai IQI

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Malaysia dijangka membuka kembali sempadan untuk pengunjung antarabangsa pada 2022, selepas penutupan selama hampir dua tahun, dan ini akan memberikan kesan serta-merta ke atas pasaran hartanah dengan menarik pelabur luar negara dan penduduk tetap asing. 

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata pembukaan semula sempadan menandakan pemulihan secara keseluruhan kepada situasi normal, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pekerjaan. 

 

“Pada 2020 dan 2021, pelaburan rentas sempadan ke dalam sektor hartanah Malaysia mengalami penyusutan ketara seperti yang dijangkakan.

 

“Melangkah maju, kami mengunjurkan pasaran kediaman mencatatkan pengukuhan, kesan daripada pemulihan yang berlaku dalam ekonomi meluas. Kita akan menyaksikan jumlah transaksi meningkat terlebih dahulu dan kemudian mendorong peningkatan harga dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, beliau menjangkakan permintaan kediaman rentas sempadan akan meningkat sepanjang 2022, dan mungkin mencecah paras yang dicatatkan pada 2019 pada 2024 atau 2025. 

 

“Walaupun begitu, permintaan akan jauh lebih tinggi daripada status quo semasa. Ini akan menjadi kelegaan bagi pemaju dan penjual yang sedang berada dalam pasaran  

 

  “Pembeli dari Singapura dijangka menjadi yang pertama untuk kembali, diikuti mereka dari negara lain yang secara tradisinya memainkan peranan dalam pasaran perumahan mewah Malaysia,” katanya. 

 

Mengenai prospek ekonomi, Kashif berkata kadar pantas vaksinasi dan rawatan baharu COVID mendorong penambahbaikan prospek, yang dijangka membawa kepada lonjakan dalam perbelanjaan isi rumah dan keinginan untuk menggunakan pada 2022.

 

“Semua keadaan yang sama juga berkemungkinan meningkatkan permintaan hartanah dan pembentukan isi rumah baharu,” katanya.-DagangNews.com