Pemerkasa bantu usahawan 'bernyawa' - MEDAC | DagangNews Skip to main content

Pemerkasa bantu usahawan 'bernyawa' - MEDAC

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Mac - Inisiatif yang diumumkan kerajaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bangkit semula. 

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihak kementerian amat komited untuk memastikan bantuan ini dapat dinikmati segera oleh para usahawan. 

 

Katanya, ini dapat membantu aktiviti perniagaan mereka diteruskan dan pulih daripada kesan kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19. 

 

"Dalam hal ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyambut baik inisiatif di bawah Pemerkasa ini yang memberi lima fokus utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan terbaharu, Pemerkasa bernilai RM20 bilion dengan suntikan fiskal baharu sebanyak RM11 bilion.

 

Pemerkasa akan menumpukan kepada 20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat serta sektor yang masih terkesan.

 

Di bawah Pemerkasa, MEDAC mengenalpasti 10 inisiatif untuk membantu PKS, antaranya Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0. bagi setiap perusahaan mikro dan PKS akan menerima bantuan one-off sebanyak RM1,000 dan dijangka memanfaatkan lebih sejuta usahawan.

 

Selain itu, kerajaan menyediakan dana pembiayaan tambahan sebanyak RM500 juta bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui program-program di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), Tekun Nasional, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan SME Corp. 

 

Untuk meningkatkan daya saing usahawan wanita kempen e-dagang PKS dan PKS Mikro, serta Program Shop Malaysia Online, dana sebanyak RM30 juta disediakan untuk membantu mereka beralih ke pasaran dalam talian. 

 

Sebagai tambahan, BSN juga akan menyediakan sejumlah RM50 juta bagi Skim Pembiayaan Mikro Pemerkasa-Nita untuk memberi galakan usahawan wanita menceburi bidang perniagaan. 

 

Suruhanjaya Koperasi Malaysia pula akan menyediakan insentif pembiayaan sehingga RM100,000 tanpa cagaran bagi membantu koperasi yang terkesan.

 

Wan Junaidi berkata, MEDAC bersedia untuk membantu dalam menyalurkan segala insentif ini kepada para usahawan dan koperasi yang terkesan.

 

"Dengan pengumuman ini diharapkan agar para usahawan dapat meneruskan kelangsungan operasi perniagaan mereka dalam tempoh yang sukar ini," katanya. - DagangNews.com