Skip to main content

Pemilik premis boleh buat Pertukaran Nama Akaun TNB kepada penyewa

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Jan - Pemilik premis boleh membuat Pertukaran Nama Akaun (Change of Tenancy atau COT) ke atas bil elektrik kepada nama penyewa sepanjang tempoh penyewaan.

 

Langkah itu bagi memastikan pengurusan akaun yang lebih teratur selain menjaga kepentingan pemilik premis.

 

Menerusi langkah pertukaran nama pemilik akaun kepada penyewa, semua tanggungjawab penggunaan dan pembayaran bil elektrik adalah di bawah  penyewa.

 

Ketua Pegawai Peruncitan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, syarikat utiliti itu memberi kemudahan untuk membuat COT melalui portal myTNB di www.mytnb.com.my atau dengan mengunjungi Kedai Tenaga yang berdekatan. 

 

Beliau berkata, maklumat dan dokumen sokongan yang diperlukan bagi pertukaran nama juga boleh diperoleh di portal myTNB. 

 

“Manakala, pemilik premis masih boleh memantau penggunaan dan pembayaran bulanan penyewa dari semasa ke semasa melalui portal dan aplikasi myTNB,” katanya. dalam satu kenyataan hari ini.

 

tnb
Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan

 

Megat berkata, masalah itu dapat diatasi dengan pemilik premis melakukan COT bagi mengurangkan risiko dibebani hutang bil elektrik tinggi ekoran penyewa mereka melakukan kerja-kerja pengubahsuaian meter atau pepasangan TNB untuk mengusahakan Bitcoin.

 

"Pada masa yang sama, kami sentiasa membuka ruang kepada pengguna untuk berjumpa bagi mendapatkan penerangan dan perbincangan lanjut.

 

"Pengguna juga digalakkan untuk menghubungi TNB CareLine di talian 1 300 88 5454 bagi sebarang pertanyaan atau menempah janji temu untuk ke Kedai Tenaga di https://www.mytnb.com.my/tnbtemujanji," katanya. - DagangNews.com