Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Jun - Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah bersifat inklusif dan menyeluruh serta menyantuni setiap lapisan rakyat yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya menyambut baik dan menyokong penuh pakej berkenaan yang jelas menunjukkan betapa kerajaan mendahulukan kesejahteraan rakyat dalam mendepani cabaran besar yang dihadapi negara.
"Pemulih adalah pakej tambahan pemulihan ekonomi yang amat ditunggu-tunggu oleh rakyat dan sedikit sebanyak mampu membantu meringankan beban rakyat yang berdepan keadaan sukar akibat penularan wabak COVID-19.
"Langkah kerajaan memudah cara prosedur Perolehan Kerajaan dalam Fokus Kedua pakej Pemulih pastinya akan membantu memacu sektor pembinaan yang turut terkesan akibat kenaikan harga bahan binaan susulan penularan pandemik.
"Ia juga akan membantu golongan B40 dalam sektor berkenaan," jelas beliau dalam satu kenyataan.
Berikut beberapa perkara yang berkait dengan sektor pembinaan yang diumumkan dalam Pemulih semalam;
- Membenarkan perubahan harga atau variation of price (VOP) bagi projek kerja berikutan peningkatan ketara kos bahan binaan daripada 1 Januari sehingga 31 Disember 2021
- Membantu kontraktor G1 hingga G4 tempatan melaksanakan projek kerja berskala kecil secara undian dan sebut harga, dengan penggunaan jadual kadar kerja kejuruteraan awam dan bangunan yang baharu serta jadual kadar kerja elektrik
- Membenarkan lanjutan masa atau extension of contract (EOT) projek kerja atau lanjutan tempoh kontrak bagi kontrak bekalan dan perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP tertakluk kepada klausa kontrak
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, keputusan kerajaan membenarkan perubahan harga atau VOP bagi projek kerja akan membantu pihak kontraktor akibat kenaikan mendadak harga bahan mentah.
Katanya, langkah berkenaan juga dapat melancarkan proses permintaan dan penawaran (supply & demand) dalam kerja-kerja pembinaan.
"Dengan membantu kontraktor G1 hinga G4 tempatan melaksanakan projek berskala kecil secara undian dan sebut harga pula, kontraktor berkenaan dapat melaksanakan kerja dengan lebih efektif kerana mendapat harga yang keuntungannya lebih selesa.
"Ia juga memberi peluang kepada lebih ramai kontraktor kecil untuk mengambil bahagian dalam perolehan kerajaan.
"Manakala lajutan EOT projek pula akan membolehkan kontraktor menjadual semula jadual kerja bagi memastikan kerja dapat disiapkan sepenuhnya," ujar beliau lagi.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyambut baik peruntukan RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas akibat pandemik di kawasan masing-masing.
Usaha berkenaan katanya akan membolehkan lebih ramai rakyat di semua kawasan dapat dibantu dalam keadaan
sukar sekarang.
"Pemberian peruntukan tanpa mengenal latar belakang politik ini juga membuktikan betapa Kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini komited dengan pendekatan prihatin rakyat serta sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan tanpa mengira kepercayaan dan latar belakang politik," tambah beliau lagi. - DagangNews.com