Penampilan sulung saham YXPM tidak berubah pada 28 sen | DagangNews Skip to main content

Penampilan sulung saham YXPM tidak berubah pada 28 sen

YXPM ialah unit logam berharga Tomei Consolidated Bhd. yang terlibat terutamanya dalam pemborongan, reka bentuk dan pembuatan barang kemas emas.

KUALA LUMPUR 23 Jun - YX Precious Metals Bhd (YXPM) membuat penampilan sulung mendatar di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada 28 sen, tidak berubah daripada harga terbitannya.

 

Sebanyak 4.82 juta unit telah diurus niaga pada loceng pembukaan pagi ini bagi YXPM yang merupakan pemborong, pereka bentuk dan pembuat barang kemas emas, dan dikenali dengan rangkaian kedai emas Tomei.

 

Bercakap pada majlis penyenaraian itu, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif YXPM, Tan Sri Azlan Mohd Zainol berkata, “Seperti yang ditunjukkan daripada bahagian awam saham kami yang terlebih langgan sebanyak 26.36 kali, minat yang kuat daripada orang awam ini akan memberi kami motivasi untuk berusaha mencapai pencapaian yang lebih baik pada tahun-tahun akan datang.”

 

Pelaksanaan IPO syarikat menyaksikan terbitan awam sebanyak 111.65 juta saham baharu. Berdasarkan harga terbitan dan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 327.15 juta, kumpulan itu mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM104.2 juta.

 

Dengan penyenaraian itu, kumpulan itu memperoleh sejumlah RM31.26 juta hasil, di mana RM6.9 juta telah diperuntukkan untuk mengembangkan rangkaian barang kemas emas berongganya dan meningkatkan kecekapan operasi.

 

 

tomei

 

 

RM20.86 juta lagi telah diperuntukkan untuk keperluan modal kerja bagi menampung permintaan masa hadapan, dan baki RM3.5 juta akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

 

Public Investment Bank Berhad merupakan Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal untuk pelaksanaan IPO ini.- DagangNews.com