Pendapatan bersih direalisasikan Sentral REIT susut 7.6% kepada RM19.03 juta Q4FY21  | DagangNews Skip to main content

Pendapatan bersih direalisasikan Sentral REIT susut 7.6% kepada RM19.03 juta Q4FY21 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 20 Jan -  Sentral REIT Management Sdn Bhd merekodkan pendapatan bersih direalisasikan sebanyak RM19.03 juta bagi suku keempat 2021 (Q4FY21), iaitu 7.6% lebih rendah berbanding pendapatan bersih direalisasikan sebanyak RM20.61 juta yang dicatatkan bagi suku keempat 2020 (Q4FY20).

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Sentral REIT memaklumkan, bagi tahun penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY21), ia merekodkan pendapatan bersih direalisasi dan pendapatan boleh agih sebanyak RM84.49 juta, peningkatan sebanyak 4.4% berbanding pendapatan bersih direalisasi dan pendapatan boleh agih sebanyak RM80.95 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.

 

"Pendapatan bersih direalisasikan yang lebih tinggi adalah disebabkan terutamanya oleh kos kewangan yang lebih rendah dan perbelanjaan pentadbiran yang ditanggung dan keuntungan daripada pelupusan Bangunan Quill 5. 

 

"Sejajar dengan itu, pendapatan realisasi seunit (EPU) dan pendapatan boleh agih seunit sebanyak 7.88 sen bagi FY21 telah dicapai," katanya di sini hari ini.

 

Sementara itu Pengerusi Sentral REIT, Tan Sri Saw Choo Boon berkata Sentral REIT telah merekodkan prestasi kewangan yang stabil pada FY2021 dengan peningkatan 4.4% dalam pendapatan bersih yang direalisasikan, walaupun berdepan dengan pandemik COVID-19 yang berpanjangan. 

 

"Prestasi 2022 mungkin terus terjejas oleh wabak yang berlarutan dengan kemungkinan kebangkitan semula pandemik COVID-19.

 

"Walau bagaimanapun, kami akan terus mengurus aset kami secara proaktif dan berada dalam kedudukan untuk mengambil kesempatan daripada pemulihan," katanya.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yong Su-Lin berkata, aktiviti pemajakan dan usaha pengekalan penyewa sepanjang tahun kekal mencabar.

 

"Krisis yang belum pernah berlaku sebelum ini telah memaksa penyewa untuk menyusun semula operasi perniagaannya untuk menerima persekitaran normal baharu. 

 

"Susulan aliran ini, Sentral REIT merekodkan kadar pengekalan sebanyak 66% untuk FY2021," katanya. -DagangNews.com