Penduduk Malaysia makin ramai, cecah 32.73 juta orang | DagangNews Skip to main content

Penduduk Malaysia makin ramai, cecah 32.73 juta orang

Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Penduduk Malaysia dianggarkan berjumlah 32.73 juta orang pada suku keempat 2020, meningkat 0.4% daripada 32.59 juta pada tempoh sama 2019.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah yang dicatatkan berdasarkan data pendaftaran semasa itu merangkumi 29.85 juta orang (91.2%) warganegara dan 2.87 juta orang (8.8%) bukan warganegara.

 

"Penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) pada suku tahun keempat 2020 menurun daripada 7.63 juta pada suku tahun keempat 2019 kepada 7.57 juta".

 

"Pada suku tahun keempat 2020, penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan iaitu masing-masing 16.83 juta dan 15.90 juta.

 

"Nisbah jantina penduduk kesuluruhan (Warganegara dan Bukan Warganegara) adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Manakala nisbah jantina penduduk warganegara adalah 102 lelaki bagi setiap 100 perempuan," jelas beliau dalam laporan Perangkaan Demografi Malaysia bagi suku tahun keempat 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin 

 

Tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada suku tahun keempat 2020 ialah Selangor (20.0%) diikuti oleh Sabah (11.9%) dan Johor (11.6%).

 

Bagaimanapun, Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu 0.3%.

 

Tambah beliau, penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 22.72 juta (suku tahun keempat 2019) kepada 22.82 juta pada suku tahun keempat tahun ini. 

 

Penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.24 juta kepada 2.34 juta bagi tempoh yang sama.

 

Katanya, trend tersebut adalah selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk.

 

"Jumlah kelahiran hidup direkodkan pada 2020 adalah 468,975 kelahiran.

 

"Sebanyak 121,251 kelahiran hidup direkodkan pada suku tahun keempat 2020, menurun sebanyak 2.5% berbanding suku tahun keempat 2019 (124,384 kelahiran).

 

"Pada suku tahun keempat 2020, kelahiran bayi lelaki melebihi bayi perempuan iaitu 62,859 berbanding perempuan (58,392 kelahiran)," ujarnya.

 

Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 22,840 kelahiran (18.8%) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh W. P. Labuan (424 kelahiran: 0.3%).

 

Mengulas berkaitan jumlah kematian pada 2020, beliau memberitahu, sebanyak 174,313 kematian direkodkan dan 44,390 direkodkan bagi suku tahun keempat 2020, menurun 0.4% berbanding suku keempat 2019 (44,566 kematian).

 

Sejumlah 25,938 kematian adalah lelaki, sementara 18,452 kematian adalah perempuan. 

 

"Bagi tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 6,759 kematian (15.2%) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 56 kematian sahaja (0.1%).

 

"Kematian disebabkan COVID-19 pada 2020 direkodkan sebanyak 471 kematian (0.3%) daripada keseluruhan kematian," tambah beliau. - DagangNews.com