Semua penerima PerantiSiswa tidak perlu pulangkan semula peranti - PM | DagangNews Skip to main content

Semua penerima PerantiSiswa tidak perlu pulangkan semula peranti - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ketika menyampaikan peranti kepada pelajar yang menerima insentif PerantiSiswa dalam Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di UiTM Shah Alam, hari ini yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad.

SHAH ALAM 3 Sept - Penerima PerantiSiswa tidak perlu memulangkan semula peranti tersebut apabila mereka tamat pengajian, demikian menurut Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, pemberian peranti itu adalah sebagai penghargaan dan diharapkan menjadi pemangkin bagi penerima PerantiSiswa untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang.

 

Sebelum ini, katanya, inisiatif tersebut diberikan secara Konsep Guna Pakai (KGP) di mana mahasiswa perlu serahkan semula peranti setelah tamat pengajian.

 

"Namun, atas maklum balas yang memberangsangkan semasa sesi pertemuan antara Menteri Komunikasi dan 
Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar pada  15 Ogos lalu, terdapat cadangan supaya PerantiSiswa ini diberikan secara terus kepada mahasiswa yang mendapat keputusan cemerlang. 

 

"Oleh itu, pada hari ini sukacita saya mengumumkan  bahawa kerajaan bersetuju untuk memberikan terus peranti 
berupa sebuah tablet berjenama terkenal ini kepada semua penerima.," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di UiTM Shah Alam, hari ini yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad. 

 

 

perantisiswa
Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di UiTM Shah Alam, hari ini. 

 

 

Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah salah satu usaha kerajaan bagi merapatkan jurang digital dengan menyediakan tablet kepada mahasiswa yang berada dalam kelompok keluarga B40.

 

Bagi memastikan proses pengajian para belajar B40 terus terpelihara, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM450 juta menerusi Bajet 2022 bagi melaksanakan Insiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.
 

Menerusi inisiatif ini, pelajar B40 akan menerima sebuah peranti berbentuk tablet, yang boleh dimanfaatkan sepanjang proses pembelajaran sehinggalah mereka menamatkan pengajian nanti.

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh pendaftaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia bagi memastikan lebih ramai golongan pelajar dan remaja memperoleh akses internet untuk pembelajaran talian dari rumah tanpa kekangan data.

 

"Keputusan untuk memanjangkan tempoh ini diharapkan memberi peluang kepada lebih ramai remaja dan pelajar untuk melanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan mudah alih," katanya.

 

Pakej prabayar mampu milik khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah ini, 
telah diperkenalkan bermula bulan Oktober 2021 pada asalnya dijadual tamat pada Oktober tahun ini.

 

Pada program itu juga, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan meluaskan lagi penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia ke kampus institusi pengajian tinggi bagi memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara.

 

"Penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia di kampus dapat mengurangkan beban mahasiswa berdepan tekanan harga barangan yang tinggi.

 

"Diharapkan juga dengan inisiatif-inisiatif daripada pihak kerajaan ini, kita sebagai Keluarga Malaysia akan terus teguh bersama serta mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia," katanya. - DagangNews.com