Penganalisis optimis, tapi berhati-hati terhadap prospek kewangan KESM | DagangNews Skip to main content

Penganalisis optimis, tapi berhati-hati terhadap prospek kewangan KESM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research optimis tetapi berhati-hati terhadap prospek KESM Industries Berhad yang diunjurkan kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan 2022 (FY22). 

 

Susulan itu, penganalisisnya, Mohd Shanaz Noor Azam mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas saham syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik dan semikonduktor itu ekoran penilaian dianjakkan kepada akhir 2022, tetapi harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM12.20 sesaham.

 

“Kami optimis dengan berhati-hati bahawa KESM akan kembali mencatatkan keuntungan pada FY22 memandangkan situasi rantaian bekalan semikonduktor automotif pada tahun 2022 bertambah baik dan gangguan operasi pula minimum disebabkan kadar vaksinasi COVID-19 lebih tinggi dalam kalangan pekerjanya. 

 

“Kami difahamkan bahawa kumpulan setakat ini telah menyaksikan lebih 90% kadar vaksinasi staf. Dalam pada itu, kumpulan masih yakin bahawa permintaan bagi perkhidmatan ‘burn-in’ dan ujian cip automotif akan memasuki maklumat hibur, 'powertrain' dan sistem pemanduan canggih yang akan terus meningkat, dipacu pertumbuhan nilai kandungan elektronik yang lebih tinggi dalam automotif,” jelas Mohd Shanaz menerusi satu nota kajian, hari ini. 

 

Menurut Mohd Shanaz, kumpulan menyaksikan hasil kewangannya pada suku keempat FY21 (4QFY21) menyusut 5% berbanding suku tahun sebelumnya kepada RM58 juta kerana tahap penggunaan yang lebih rendah di seluruh negara ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada Jun. 

 

Secara keseluruhannya, KESM mencatatkan kerugian bersih utama sebanyak RM2 juta bagi suku tahun tersebut berbanding RM3 juta yang dilaporkan pada 3QFY21.

 

Tambah Mohd Shanaz, firmanya meningkatkan unjuran perolehan sesaham (EPS) KESM bagi FY22 hingga FY23 sebanyak 4% hingga 9%. 

 

“Kami lebih memilih Inari Amertron Berhad dan Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) bagi sektor pengujian dan pemasangan semikonduktor (OSAT) di Malaysia,” katanya lanjut.

 

Pagi ini, harga saham KESM menyusut 30 sen kepada RM11.90 setakat 9.22 pagi. - DagangNews.com