KINI masyarakat dunia dilambakkan dengan sajian-sajian pengisian atau content di laman-laman media sosial terutama melalui aplikasi Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok.
Bermacam pengisian di sajikan yang dihasilkan oleh individu-individu yang mempunyai ramai pengikut yang mencecah jutaan pengikut di setiap platform media sosial.
Pengisian baik atau buruk adalah terletak kepada tafsiran individu masing-masing yang mempunyai pelbagai cita rasa dan selera.
Dengan melihat trend tersebut, rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan dengan Tsunami media sosial yang menerap masuk dengan penglibatan setiap peringkat umur.
Maka tidak hairanlah terdapat kajian yang dilakukan pada 2018 menerusi Laporan Digital 2018 yang dikeluarkan oleh Hootsuit dan We Are Social pada ketika itu menunjukkan bahawa jumlah pengguna Internet dinegara ini menunjukkan peningkatan kepada 25.08 juta pengguna, mewakili 79 peratus penduduk Malaysia.
Daripada jumlah berkenaan 75 peratus menggunakan perkhidmatan media sosial dan memperuntukkan purata tiga jam sehari di laman media sosial. Laporan berkenaan turut mendedahkan jumlah pengguna Internet meningkat sembilan peratus berbanding tahun 2017, menjadikan Malaysia sebagai negara ke-9 dunia paling aktif di laman sosial pada tahun 2018.
Pada tahun 2020, akibat daripada penularan pandemik COVID-19 yang membawa amalan baharu secara dalam talian dalam kehidupan dan aktiviti masyarakat Malaysia angka pengguna media sosial di negara ini meningkat.
Hasil statistik laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia(KKOM) pada September 2021, seramai 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk negara ini dicatatkan.
Dengan lambakan saluran media sosial, maka wujudnya golongan yang digelar sebagai pencipta kandungan (content creator) atau pempengaruh (influencer) yang memuat naik kandungan seperti tutorial, resipi masakan, solekan serta yang berkongsi pelbagai maklumat.
Oleh itu, tidak hairanlah mereka ini meraih ratusan ribu malah jutaan pengikut (followers) di saluran media sosial masing-masing dan sekali gus memberikan impak yang besar kepada masyarakat.
Golongan selebriti, usahawan, agamawan termasuklah ahli-ahli politik juga turut mempunyai pengikut-pengikut yang ramai di media sosial.
Didunia media sosial mereka mempunyai satu tanggungjawab yang besar kerana mempunyai jutaan pengikut dan ada yang menjadikan pempengaruh media sosial ini sebagai idola, sumber inspirasi dan sebagai trend setter terutama dalam bidang fesyen atau tata hias.
Setiap hantaran yang dibuat di laman media sosial semestinya akan wujudkan interaksi para pengikut di hantaran tersebut. Namun setiap hantaran yang dilakukan perlulah nilai-nilai atau adab yang mana selaras dengan kemajmukan dan keharmonian negara ini.
Hantaran yang tidak menyentuh perihal Agama dan budaya bangsa lain yang boleh kontroversi serta mengundang perbalahan atau menyebabkan pertikaian dan pertelingkahan.
Bukan itu sahaja, ia juga perlu mempunyai rasa tanggungjawab kepada peminat dan pengikut mereka supaya mereka boleh dijadikan contoh dan ikutan yang baik. Hantaran-hantaran yang jelik dan menjengkelkan juga boleh menyebabkan ia akan menjadi normalisasi di dalam masyarakat.
Tidak semua pempengaruh atau selebriti yang sebegitu namun yang segelintir itulah yang boleh merosakkan keseluruhan sistem, bak kata pepatah “kerana nila setitik rosak susu sebelanga”.
Ramai sebenarnya pempengaruh yang menjalankan tanggungjawab mereka dalam mengadvokasikan kesedaran-kesedaran dan maklumat yang sangat berguna kepada masyarakat yang mana maklumat tersebut juga boleh dijadikan sebagai garis panduan atau rujukan untuk mereka yang mencari sumber rujukan. Ini kerana setiap maklumat yang dikongsikan adalah dari kepakaran, kehidupan, perjalanan seharian mereka tempuhi.
Mereka ini sepatutnya diberikan pujian atau perlu diikuti kerana input-input yang diberikan adalah bercirikan input yang positif yang mana ia boleh memberikan satu kesedaran yang baik secara tidak langsung melalui hantaran video atau penulisan.
Mereka juga berlatarbelakangkan Guru, Aktivis, Usahawan, Pakar Motivasi, Suri Rumah, Ibu atau Bapa tunggal dan ramai lagi. Bukan itu sahaja, hantaran perkongsian resipi masakan, pengubahsuaian (DIY) dan “V-Log” makan juga menjadi trend tatkala ini.
Bukan itu sahaja, hantaran-hantaran mereka di media sosial juga sedikit sebanyak boleh menjadi suara pendesak kepada pihak berkuasa untuk memperbaiki sistem-sistem atau khidmat penyampaian perkhidmatan Kerajaan.
Ada yang melontarkan cadangan dan kritikan yang membina yang mana pihak-pihak berkuasa perlu mengambil cakna akan suara-suara mereka, ini kerana para pempengaruh ini membawa suara masyarakat yang mungkin pihak-pihak lain terlepas pandang atau tidak pandang langsung.
Oleh itu, peranan pempengaruh sebenarnya besar dalam mendidik masyarakat secara tidak langsung.
Namun dek kerana mengejar like, follow dan share, ada juga segelintir pempengaruh ataupun selebriti membuat hantaran yang jelek atau menjengkelkan dan hanya cuba mencuri perhatian orang awam dan ia juga akan menyebabkan hantaran yang dibuat mengganggu masyarakat awam dalam beberapa aspek.
Jangan hanya selepas viral dan menjadi perbualan umum dan perdebatan di media sosial, perkataan “Mohon Maaf’ menyucikan segala perbuatan dan ia tidak semudah itu. Jangan ia dijadikan sesuatu yang dinormalisasikan di dalam masyarakat. Perlu melihat kesannya juga.
Sebelum membuat sebarang hantaran kita perlu menilai adakah hantaran yang dibuat di media sosial untuk meraih perhatian semata-mata ataupun untuk memberikan manfaat kepada para pengikut.
Oleh itu perlulah setiap hantaran yang dibuat jika baiknya memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat umum kerana impak atau hasilnya juga akan menjadi baik kepada semua.
Menurut Pakar Psikiatri, Dr. Rozanizam Zakaria dari Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) pernah menyatakan didalam salah sebuah terbitan akhbar yang mana kandungan media sosial boleh membentuk persepsi, sebagai contoh apabila terdapat berita tentang selebriti atau pempengaruh yang memperlaku self harm , ia sudah cukup untuk mencetuskan pengikut untuk melakukan benda yang sama dan ia dipanggil copycat suicide.
Namun begitu bukan sahaja pempengaruh yang berperanan untuk mempengaruhi, pengikut atau follower juga perlu harus bijak memilih pempengaruh yang mana untuk mereka ikut dan jadikan sebagai inspirasi.
Adakah mereka perlu ikut pempengaruh yang banyak memberikan manfaat atau yang menjengkelkan. Pilihan di tangan masing-masing, tepuk dada tanya selera. Kita yang menentukan. – DagangNews.com