Pengecualian cukai kenderaan mungkin dilanjutkan? - MIDF | DagangNews Skip to main content

Pengecualian cukai kenderaan mungkin dilanjutkan? - MIDF

Jumlah jualan kenderaan di Malaysia pada September 2020 menyaksikan peningkatan sehingga 26% kepada 56,444 unit.

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 21 Okt. - Pemain industri automatif kini menaruh harapan supaya kerajaan melanjutkan pemberian insentif pengecualian cukai jualan sekurang-kurangnya sehingga Mac atau Jun tahun hadapan.

Pada Jun lalu, kerajaan mengumumkan pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi kenderaan penumpang, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) CKD di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang akan berakhir 31 Disember ini. 

Ini termasuk pengecualian cukai jualan sebanyak 50 peratus bagi kenderaan penumpang, SUV dan MPV CBU sebagai langkah untuk merangsang sektor automatif negara yang terjejas akibat COVID-19.

Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, walaupun tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini, inisiatif tersebut telah memberi kesan yang positif kepada jumlah jualan kenderaan (TIV). 

"Dengan mengambil kira peningkatan TIV sejak ia dilaksanakan mulai 5 Jun lalu, pastinya ini sesuatu yang positif jika dapat diwujudkan semula (pengecualian cukai)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini. 

Data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan TIV di Malaysia pada September 2020 menyaksikan peningkatan sehingga 26% kepada 56,444 unit berbanding 44,666 unit pada tempoh sama tahun lalu. 

Jualan kenderaan bulan lalu juga meningkat sebanyak 7% berbanding Ogos 2020 sekali gus menandakan peningkatan bulanan kedua tertinggi setakat ini bagi tahun 2020. 

Jualan kenderaan penumpang melonjak kepada 51,422 unit daripada 40,267 pada September 2019 dan jualan kenderaan perdagangan juga meningkat kepada 5,022 daripada 4,399.

Peningkatan umlah jualan lebih tinggi pada September 2020 didorong kempen promosi berterusan oleh syarikat kenderaan dan pengeluaran model yang lebih banyak. 

Bagaimanapun, menurut Hafriz, sektor automatif masih lagi tidak menentu tambahan pula tempoh moratorium telah berakhir 30 September lalu dan kebimbangan jika tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilanjutkan disebabkan peningkatan kes COVID-19.

"Namun, kami memahami pemain industri mempunyai tempahan di bank dalam tempoh 1 hingga 2 bulan ini yang seharusnya mengekalkan TIV untuk tempoh sederhana. 

"Sehubungan itu, kami menjangkakan TIV akan berkurangan kepada 522,927 unit tahun ini berbanding unjuran sebelum ini, 554,000," katanya. 

Keadaan itu, jelas beliau disebabkan kelewatan pelancaran model SUV Perodua dan dua model CKD Toyota yang ditangguhkan ke tahun hadapan. 

"Tetapi semakan semula ini tidak menjejaskan analisis kami terhadap pemulihan pendapatan sektor automatif untuk suku ketiga dan seterusnya," ujarnya. - DagangNews.com