Pengendali hotel boleh isytihar semula kehendak maksimum bekalan elektrik - TNB | DagangNews Skip to main content

Pengendali hotel boleh isytihar semula kehendak maksimum bekalan elektrik - TNB

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 April - Pengendali hotel yang terkesan dengan pandemik COVID-19 boleh mengisytiharkan semula Kehendak Maksimum (KM) bekalan elektrik berdasarkan penggunaan semasa.

 

Ia bertujuan untuk meminimakan atau mengelakkan penalti Caj Sambungan Beban (CSB) bulanan mereka menerusi polisi baru yang diluluskan oleh kerajaan dan mula dikuatkuasakan pada 15 Januari lalu.

 

Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, selain operator hotel, polisi baru CSB itu adalah terpakai kepada pengguna TNB yang mendapat bekalan melalui Voltan Sederhana dan Voltan Tinggi.

 

"Mereka tertakluk kepada Caj Sambungan Beban (CSB) bagi tempoh enam tahun untuk pengguna baharu dan lima tahun bagi pengguna sedia ada yang membuat permohonan tambahan beban. Kelulusan untuk pengisytiharan semula KM ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

 

"Penalti CSB dikenakan bagi mengelakkan KM diisytihar berlebihan oleh pengguna semasa permohonan bekalan berbanding beban sebenar yang diperlukan. 

 

"Pengisytiharan KM yang berlebihan akan menyebabkan pembaziran kapasiti penjanaan serta peningkatan kos penjanaan dan penghantaran yang perlu ditanggung oleh pengguna lain," jelas TNB dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, TNB telah memberikan Pakej Bantuan melalui penangguhan CSB secara automatik selama enam bulan bagi penggunaan bermula 1 April
2020 sehingga 30 September 2020 berikutan penularan pandemik COVID-19.

 

Selepas tempoh berkenaan, sektor perniagaan yang masih terkesan dengan wabak COVID-19 boleh memohon
lanjutan penangguhan CSB bagi tempoh maksimum enam bulan. 

 

TNB memberitahu, sebarang permohonan untuk mengisytiharkan semula Kehendak Maksimum (KM) atau
melanjutkan tempoh CSB boleh dimajukan melalui saluran seperti berikut:

 

 

  • E-mel kepada tnbcareline@tnb.com.my
  • Majukan di Kedai Tenaga yang berdekatan, atau
  • Melalui pos di alamat: 

Lead (Commercial & Regulated Management)
Aras 16, Wisma TNB
No 19, Jalan Timur
46200 Petaling Jaya, Selangor

 

 

Dalam kenyataan yang sama, TNB memberitahu, di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) pula, diskaun khas bil elektrik sebanyak 10% dilanjutkan selama tiga bulan sehingga 30 Jun 2021 kepada enam sektor perniagaan yang terkesan di seluruh negara.

 

Ia termasuk pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat membeli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan. 

 

Dalam pada itu, pengendali hotel juga dianggar mendapat penjimatan bil elektrik bulanan antara 4% dan 5% menerusi pemberian rebat Imbalance Cost Past Through (ICPT) selama enam bulan bagi tempoh penggunaan 1 Januari sehingga 30 Jun 2021 kepada semua Pengguna TNB.

 

Pengguna TNB tersebut adalah meliputi pengguna domestik dan bukan domestik pada kadar 2 sen setiap kilowatt perjam. - DagangNews.com