Penggabungan Felda-FGV jimat RM700 juta | DagangNews Skip to main content

Penggabungan Felda-FGV jimat RM700 juta

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Cadangan penggabungan antara FGV Holdings Bhd. dan Felda dijangka menjimatkan kos pentadbiran sebanyak RM700 juta setahun. 

Menurut Ahli Lembaga Koperasi Permodalan Felda, Datuk Zakaria Arshad, kos pentadbiran kedua-dua agensi itu kini berjumlah RM1.7 bilion setahun dan ia boleh dikurangkan sehingga RM1 bilion jika digabungkan. 

Malah, katanya,penggabungan ini juga tidak melibatkan sebarang pembayaran pampasan untuk perjanjian pajakan tanah (LLA) yang dianggarkan RM3 bilion jika Felda mahu mengambilnya semula. 

"Ini akan menjadikan penggabungan ini bertambah kukuh kerana mereka mempunyai ladang seluas kira-kira 850,000 haktar, lebih besar daripada ladang Sime Darby Plantation," katanya dalam kenyataan hari ini.


Cadangan penggabungan ini pernah dibangkitkan semasa Felda di bawah pentadbiran Tan Sri Raja Alias. 

Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV ini berkata, dengan penggabungan ini, hanya seorang sahaja pengerusi kumpulan akan dilantik untuk memimpin kedua-dua agensi ini. 

"Langkah ini secara tidak langsung dapat mengurangkan pertindihan tenaga kerja seperti kakitangan audit, kakitangan pentadbiran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D)," ujarnya. 

 

Zakaria Arshad
Zakaria Arshad
 

Beliau menjangkakan pemegang saham FGV sekarang akan menyambut baik penggabungan ini kerana mempunyai potensi besar untuk memberi keuntungan kepada pelaburan mereka pada masa hadapan. 

Ini kerana menurutnya, dapat mengelakkan ladang dan aset Felda tidak terlepas ke tangan pihak lain. 

"Sudah tentu, cadangan ini akan mengembirakan kebanyakan peneroka dan generasi seterusnya. Peranan KPF juga dapat diperkasa semula dan akan dapat memberi dividen yang lumayan seperti masa dahulu," katanya. 

Awal minggu ini, Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata, pendapatan Felda daripada keuntungan operasi ladangnya mula merosot sejak 2012 selepas FGV disenaraikan di Bursa Malaysia dan hanya merekodkan keuntungan sebanyak RM16.51 juta tahun lalu.

Ini mendorong Felda untuk mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV menerusi LLA dalam usaha mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya.

 

Baca : IPO bukan punca kejatuhan Felda - FGV

 

Minggu lalu, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary menerusi syarikat Perspective Lane (M) Sdn. Bhd.(PLSB) bercadang untuk menjadi pemegang saham utama FGV Holdings Bhd. menerusi suntikan aset perladangan bagi mendapat pertimbangan saham. 

Jelas Zakaria, adalah sukar bagi FGV untuk mereka beroperasi sekiranya tidak mendapat sokongan dari Felda, walaupun mereka mempunyai wang tunai hasil pampasan LLA.

"Bagi Felda pula, walaupun mereka mendapat kembali tanah LLA, tetapi bebanan kewangan mereka adalah tinggi. 

"Dianggarkan Felda akan menanggung tidak kurang RM500 juta setahun untuk membayar faedah pinjaman sahaja sekiranya mereka meneruskan rancangan ini," katanya. - DagangNews.com