Pengguna perlu beralih kepada 4G sebelum perkhidmatan 3G ditamatkan - MCMC | DagangNews Skip to main content

Pengguna perlu beralih kepada 4G sebelum perkhidmatan 3G ditamatkan - MCMC

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Pengguna peranti 3G disarankan untuk segera beralih kepada rangkaian 4G sebelum rangkaian 3G ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember ini.

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memberitahu, langkah itu perlu dilakukan bagi mengelakkan pengguna terkesan dan ketinggalan daripada arus pendigitalan.

 

"Pengguna yang masih menggunakan kad SIM 3G disaran untuk segera menghungi syarikat penyedia perkhidmatan dalam masa terdekat bagi menaik taraf perkhdimatan kepada 4G bagi mengelakkan sebarnag kesulitan," katanya.

 

Penamatan rangkaian 3G adalah seiring dengan usaha kerajaan meningkatkan liputan jalur lebar yang lebih menyeluruh dan berkualiti tinggi di bawah inisiatif Infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

 

MCMC memberitahu, ia bertujuan untuk mengguna semula spektrum sedia ada bagi mengukuhkan rangkaian 4G serta membolehkan penyedia rangkaian mudah alihmeningkatkan ketersambungan digital dan memberikan pengalaman 4G yang lebih menarik kepada pelanggan dan isi rumah.

 

Pada September lalu, MCMC memaklumkan bahawa sebanyak 94.03% kawasan berpenduduk mempunyai akses 4G dengan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pada kelajuan 31.34 megabit sesaat.

 

Suruhanjaya itu berkata, pihak penyedia perkhidmatan iaitu Celcom Axiata Bhd., Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Maxis Bhd., Telekom Malaysia Bhd. dan U Mobile Sdn. Bhd. telah berjaya melakukan migrasi 1.2 juta pelanggan kepada 4G.-Dagangnews.com