Penjenamaan semula Majlis Getah Malaysia beri mandat lebih meluas | DagangNews Skip to main content

Penjenamaan semula Majlis Getah Malaysia beri mandat lebih meluas

Majlis Getah Malaysia (MRC)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia dijenamakan semula kepada nama baharu iaitu Majlis Getah Malaysia (MRC) yang memberi mandat lebih meluas untuk memacu perkembangan industri produk berasaskan getah negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Brandon Chan berkata, penjenamaan semula itu mencerminkan kepercayaan tinggi yang diberikan kepada pihaknya dalam memikul tanggungjawab yang lebih besar.

"Dengan pengalaman selama 20 tahun, MRC berupaya mengenalpasti strategi dan program yang membawa impak positif kepada industri getah Malaysia. 

"Pengalaman dan pengetahuan ini membolehkan agensi ini berfungsi dengan lebih efektif dalam menempa kemajuan dan seterusnya melonjak industri getah Malaysia ke peringkat lebih maju.

"Perancangan industri getah yang lebih holistik perlu disegerakan supaya semua sektor samada huluan atau hiliran akan dapat mencapai kemakmuran bersama" jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Objektit MRC yang lebih meluas turut bertujuan untuk memperkukuh pasaran getah demestik dengan matlamat untuk membina keupayaan industri hiliran produk berasaskan getah.

Pihaknya turut berharap agar inisiatif tersebut dapat memberi impak positif kepada industri huluan dan pertengahan menerusi sokongan program dan aktiviti berterusan kepada sektor hiliran.

MRC juga akan mengenalpasti peluang terkini dalam pembangunan modal insan serta langkah peralihan kepada penggunaan teknologi maju selain berusaha menggerakkan industri tersebut ke arah yang berdaya mampan dan lestari.

Selaras dengan itu, dana berjumlah RM20 juta telah diperuntukkan bagi automasi dan teknologi hijau sebagai rangsangan kepada pemain industri tempatan untuk bergerak dan beralih kepada automasi IR4.0 serta sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

MRC turut memberi jaminan kepada pemegang taruh dan pemain industri getah terhadap mutu perkhidmatan yang tidak akan terjejas dengan penjenamaan tersebut di samping memantapkan lagi hubungan dengan organisasi pembangunan antarabangsa bagi meningkatkan penglibatan industri getah negara dalam rantaian nilai global. - DagangNews.com