Penjualan ekuiti Bunge Loders Croklaan beri kesan `minimum' kepada IOI Corp, kata HLIB Research | DagangNews Skip to main content

Penjualan ekuiti Bunge Loders Croklaan beri kesan `minimum' kepada IOI Corp, kata HLIB Research

Dengan selesainya penjualan saham, pegangan IOI Corp dalam BLC telah dikurangkan kepada 20 peratus (daripada 30 peratus sebelumnya).
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kehilangan hasil tahunan RM50 juta yang ditanggung IOI Corporation Bhd ekoran pelupusan ekuitinya dalam Bunge Loders Croklaan Hogeweg (BLC) disifatkan sebagai `kesan minimum' memandangkan asas pendapatan syarikat yang besar, kata HLIB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, IOI Corp memaklumkan bahawa kerjasama perniagaan sedia ada antara IOI Corp dan Bunge Ltd kekal, dan kedua-dua pihak akan terus memanfaatkan sinergi perkongsian sedia ada dalam mengembangkan perniagaan BLC.

 

Pada 5 Ogos, IOI Corp mengumumkan pelupusan 10 peratus kepentingan dalam BLC, yang bersifat bukan teras, kepada anak syarikat milik penuh Bunge Koninklijke Bunge BV (KBBV) pada harga RM466 juta.

 

KBBV dan IOI Corp bersetuju dengan perjanjian pemegang saham (SHA) pada 2018, dan nilai jualan saham adalah berdasarkan mekanisme untuk opsyen jual dan beli yang dinyatakan dalam SHA.

 

Dengan selesainya penjualan saham, pegangan IOI Corp dalam BLC telah dikurangkan kepada 20 peratus (daripada 30 peratus sebelumnya), dan sewajarnya, opsyen jual dan beli sedia ada yang disediakan dalam SHA telah ditamatkan.

 

IOI Corp memperoleh keseluruhan perniagaan BLC daripada Unilever Plc dan Unilever NV dengan harga RM814 juta pada tahun 2002.

 

Selepas itu, pada September 2017, IOI Corp memeterai perjanjian pembelian saham muktamad dengan KBBV untuk melupuskan 70 peratus kepentingan dalam BLC dan perniagaan berkaitannya kepada KBBV pada harga RM3.79 bilion.

 

HLIB telah mengekalkan saranan 'Beli' ke atas IOI Corp, dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM4.36 sementara menunggu kemas kini selanjutnya dalam taklimat keputusan akan datang. - DagangNews.com