Penyelidik UPM cipta dron daun nanas, miliki daya rintangan elektrik | DagangNews Skip to main content

Penyelidik UPM cipta dron daun nanas, miliki daya rintangan elektrik

 Dron Putra UAV

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Julai - Dron atau pesawat udara tanpa pemandu (UAV) diinovasikan penciptaannya dengan menggunakan gentian bahan semulajadi iaitu daun nanas yang mempunyai daya rintangan elektrik.

Ketua kumpulan penyelidiknya, Prof. Ir. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan berkata, dron yang diberi nama Putra UAV itu adalah inovasi pertama yang menggunakan gentian bahan semulajadi atau biokomposit daripada daun nanas.

"Ia berupaya terbang hingga kira-kira 30 meter iaitu 100 kaki dan boleh berada di udara selama kira-kira 20 minit.

"Dengan ciri istimewa mempunyai daya rintangan elektrik, ia boleh mengelak berlakunya litar pintas. Ia juga mudah diperbaiki jika berlaku kerosakan kecil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan bersama dron Putra UAV.
PROF. IR. DR. MOHAMED THARIQ HAMEED SULTAN bersama dron Putra UAV.

 

Struktur Putra UAV terdiri daripada rangka yang diperbuat daripada gentian nanas selain beberapa struktur lain seperti motor, bilah (blade) dan bateri yang boleh dicaj semula.

Jelas Mohamed Thariq lagi, dron yang diperbuat daripada bahan semulajadi atau biokomposit itu mempunyai nisbah kekuatan yang lebih tinggi berdasarkan berat (high strenght-to-weight ratio) berbanding dron yang diperbuat daripada plastik atau gentian sintetik.

"Selain itu, ia lebih murah, ringan dan bahan semulajadinya mudah diperoleh disamping konduktiviti elektrik yang rendah.

PROF. IR. DR. MOHAMED THARIQ HAMEED SULTAN
DRON Putra UAV daripada gentian bahan semulajadi daun nanas.

 

"Justeru, biokomposit berpotensi besar menggantikan bahan sedia ada dengan beberapa kelebihan seperti ringan dan mesra alam kerana faktor biodegradasi yang mudah terurai dan dilupus dalam tanah," katanya lagi.

Bercerita lanjut, beliau berkata, idea penciptaan dron itu tercetus semasa menjalankan projek komuniti di Teluk Penglima Garang, Selangor pada 2017 apabila ketua kampung di kawasan tersebut meminta UPM membantu melupuskan daun nanas yang banyak hasil daripada penanaman nanas oleh penduduk.

Mohamed Thariq yang juga pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan UPM memberitahu, susulan peristiwa itu, beliau membuat permohonan dana penyelidikan dan memperoleh RM25,000 daripada UPM bagi membangunkan ekosistem dengan penghasilan mesin yang boleh menukar daun nanas kepada gentian.

Dron Putra UAV daripada gentian bahan semulajadi daun nanas.

Penciptaan dron tersebut termasuk di bawah Strategi Lautan Biru Negara yang turut melibatkan seorang penyelidik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta seorang wakil dari Malaysia UAV Drone Activist Society (MUDAS).

Inovasi tersebut telah memenangi emas pada 8th International, Invention & Design Competition (INDES 2019), emas pada Research Innovation & Enterprise Centre (2019) Innovation Technology Expo (InTEX19) dan pelbagai kejohanan lain.

"Putra UAV ini boleh digunakan untuk tujuan pemantauan udara, penyemburan racun bagi aktiviti pertanian selain menggunakannya sebagai hobi," tambahnya lagi. - DagangNews.com