Perbicaraan dan pendengaran kes di mahkamah perlu ditangguh | DagangNews Skip to main content

Perbicaraan dan pendengaran kes di mahkamah perlu ditangguh

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Semua perbicaraan atau pendengaran kes sivil dan jenayah yang telah ditetapkan secara kehadiran fizikal di mahkamah perlu ditangguhkan dan penetapan tarikh yang baharu akan dimaklumkan kemudian, sepanjang tempoh 'lockdown' hingga 14 Jun depan.

 

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan Malaysia, bagi kes-kes sivil, pendengaran kes hendaklah dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh. 

 

Katanya, ini berdasarkan Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 1 Tahun 2021 Pengendalian Kes Sivil Melalui Teknologi Komunikasi Jarak Jauh Bagi Mahkamah Di Seluruh Malaysia (AA KHN 1/2021). 

 

“Bagi maksud ini, pengendalian prosiding melalui kaedah hibrid adalah tidak dibenarkan dan perenggan 6, 9 dan 14 AA KHN 1/2021 adalah tidak terpakai; dan 

 

“Dengan mengambil kira tempoh pelaksanaan ‘Total Lockdown’ fasa pertama ini, sekiranya agensi kerajaan, peguam dan orang awam mempunyai kesukaran dalam meneruskan perbicaraan dan dikhuatiri akan menjejaskan hak pihak-pihak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil melalui teknologi komunikasi jarak jauh, pihak agensi kerajaan, peguam dan orang awam boleh memohon untuk menangguhkan kes,” jelas kenyataan itu.

 

Sementara itu, pemfailan kes sivil dan jenayah baharu atau notis rayuan dan dokumen-dokumen akan dilaksanakan seperti biasa melalui sistem aplikasi Mahkamah. 

 

Bagi pengurusan kes sivil dan jenayah pula, ia perlu dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh, menurut kenyataan itu lagi. 

 

Di bawah aspek pertuduhan baharu, permohonan perintah reman dan permohonan jenayah pelbagai semua pertuduhan baharu, ia hendaklah dilaksanakan melalui kehadiran secara fizikal di mahkamah. 

 

“Pihak-pihak boleh memfailkan perakuan segera / permohonan segera bagi kes-kes sivil dan jenayah sekiranya perlu dan mahkamah akan memberikan arahan lanjut kepada pihak-pihak berhubung dengan perkara tersebut; dan 

 

“Bagi permohonan jenayah yang perlu dijalankan melalui kehadiran secara fizikal di mahkamah atasan atas sebab-sebab yang khas dan dalam keadaan tertentu (exceptional circumstances), mahkamah akan menggunakan budi bicara dalam mempertimbangkan permohonan tersebut,” tambah kenyataan itu lagi. 

 

Ujar Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan Malaysia, arahan itu mengatasi kesemua arahan terdahulu berhubung operasi mahkamah dalam tempoh kawalan pergerakan yang telah dikeluarkannya melalui e-mel pada 17 Mac 2020, 26 Mac 2020 dan 24 April 2020.

 

Katanya lagi, arahan berkenaan hendaklah terpakai sekiranya kerajaan mengumumkan untuk melanjutkan pelaksanaan ‘lockdown’ dan tertakluk kepada apa-apa arahan baharu yang dikeluarkan. - DagangNews.com