Perdana Menteri sindir Ahli Parlimen 'hilang' dari kawasan semasa bencana banjir | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri sindir Ahli Parlimen 'hilang' dari kawasan semasa bencana banjir

KUALA LUMPUR 20 Jan - Sesi penerangan bencana banjir oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat bertukar menjadi kekecohan selepas beliau secara sinis menyindir sebahagian wakil rakyat dikesan tidak berada di kawasannya ketika bencana melanda.

 

Kekecohan tercetus selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun mempertikaikan dakwaan Perdana Menteri itu, menyebabkan sesi penerangan yang menyentuh mengenai bencana banjir negara bulan lalu, terganggu.

 

"Polis cari, Ahli Parlimen Shah Alam hilang, dikatakan tiada dalam radar. Tapi kalau ada.. baguslah," sindir Perdana Menteri semasa Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Berita Harian.

 

Sindiran itu memaksa Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) bangun mempertikaikan dakwaan itu, menyebabkan dewan mula kecoh.

 

Gobind Singh Deo (PH-Puchong) kemudiannya bangun mempersoalkan kenyataan Ismail Sabri itu dan mendakwa ketika Perdana Menteri tidak memberikan sebarang jemputan kepada Ahli Parlimen pembangkang semasa turun melawat mangsa banjir di Selangor.

 

"Banjir ini hal kecemasan, jadi saya turun tidak bagi tahu Ahli-ahli Parlimen. Tiada jemputan dikeluarkan," kata Ismail Sabri ketika menjawab persoalan dikemuka Gobind itu, memaksa beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang lain bangun mempertikaikan penjelasan balas itu.

 

"Kita tidak mahu majlis 'blame game', majlis (mesyuarat khas) cari penyelesaian, itu yang kita mahu," celah Mohamad Sabu (PH-Kota Raja), diikuti Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) kemudiannya bangun mencelah meminta Perdana Menteri supaya tidak menyindir mana-mana Ahli Parlimen. - DagangNews.