Perdana Menteri umum pengecualian duti setem bagi perjanjian pinjaman rumah pertama menerusi i-Miliki | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri umum pengecualian duti setem bagi perjanjian pinjaman rumah pertama menerusi i-Miliki

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Inisiatif Pemilikan Perumahan Keluarga Malaysia atau i-Miliki yang memberikan insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama secara peringkat.

 

Beliau berkata, bagi peringkat pertama melibatkan rumah berharga RM500,000 dan ke bawah, pengecualian duti setem adalah sebanyak 100%.

 

"Bagi rumah berharga RM500,000 hingga RM1 juta, insentif pengecualian adalah sebanyak 50%.

 

"Pengecualian ini adalah bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan bagi tempoh 1 Jun 2022 hingga Disember 2023," katanya pada Majlis Pelancaran Home Ownership Programme (HOPE) dan Karnival Jom Beli Rumah di Atrium Mid Valley Exhibition Centre, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, meskipun pengecualian duti setem itu akan mengurangkan kutipan hasil kepada negara, namun beliau menegaskan bahawa tindakan tersebut merupakan komitmen kerajaan kepada Keluarga Malaysia 

 

Beliau berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan bahawa tuntutan pengecualian duti setem di bawah Home Ownership Campaign (HOC) adalah sebanyak RM957.8 juta dan tuntutan pengecualian duti setem paling tinggi adalah bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah.

 

pm

 

"Kerajaan melakukan pelbagai cara untuk memudahkan pemilikan rumah kediaman dalam kalangan Keluarga Malaysia seperti pemberian insentif pengecualian cukai duti setem bagi perjanjian pindah milik harta tanah dan perjanjian pinjaman," katanya.

 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan program HOPE adalah selaras dengan gagasan 'Satu Rumah Satu Keluarga' yang bukan sahaja mempromosikan rumah untuk semua lapisan masyarakat tetapi juga ekosistem perumahan secara holistik.

 

Beliau juga gembira apabila KPKT dengan kerjasama Kementerian Kewangan melancarkan Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia atau i-Biaya bagi memudahkan pemilikan kediaman dalam  kalangan Keluarga Malaysia khususnya generasi muda.

 

"Saya juga dimaklumkan bahawa satu pemetaan Indeks Harga Rumah Mampu Milik yang pertama seumpamanya dibangunkan oleh KPKT sebagai panduan mengenai harga rumah mampu milik di seluruh negara dan pada masa sama saya berharap lebih banyak kediaman mampu miliki dapat disediakan oleh pemaju perumahan berdasarkan had pendapatan Keluarga Malaysia berdasarkan lokaliti.

 

"Menjadi harapan saya agar lebih banyak program bersifat pendidikan diperhebatkan seperti Kempen Bijak Beli Rumah dan Pemilikan Kediaman pada usia muda.

 

"Ini pastinya dapat membantu Keluarga Malaysia khususnya pembeli rumah pertama mendapat pengetahuan tentang pemilikan hartanah dan memudahkan mereka membeli kediaman idaman mengikut kemampuan masing-masing," katanya. - DagangNews.com