Permai: 'Nyawa' industri pelancongan bernafas | DagangNews Skip to main content

Permai: 'Nyawa' industri pelancongan bernafas

pelancongan Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sudah memasuki minggu kedua sejak dilaksanakan 13 Januari baru-baru ini.

 

PKP 2.0 dijalankan dengan sedikit kelonggaran apabila kerajaan membenarkan lima sektor ekonomi penting untuk terus beroperasi.

 

Sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi melibatkan pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi.

 

Jika kita lihat dalam senarai tersebut, sektor pelancongan sememangnya tidak mendapat 'lampu hijau' untuk beroperasi mengharungi cabaran dan impak COVID-19.

 

Keadaan itu pastinya menambahkan lagi tekanan dan bebanan sektor pelancongan yang sudah hampir lumpuh dalam episod wabak sebelum ini.

 

Bagi mereka, ujian datang bertimpa-timpa tanpa sempat pulih dari 'kecederaan' lalu.

 

Mana tidaknya, dalam episod gelombang ketiga COVID-19, industri pelancongan dihimpit dengan kerugian melebihi RM100 bilion.

 

Kehadiran pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan pada 18 Januari baru-baru ini memberi sedikit kelegaan kepada industri pelancongan.

 

Bantuan tersebut disambut baik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang sedikit sebanyak membolehkan penggiat industri pelancongan, seni dan budaya meneruskan kelangsungan penjanaan ekonomi perniagaan selain dapat mengekalkan tenaga kerja masing-masing.

 

Bagi Pengerusi Persatuan Pelancongan Taiping, Datuk Zuhuri Ahmad, kehadiran Permai adalah satu jawapan kepada keperluan jangka pendek industri tersebut.

 

Zuhuri Ahmad
Zuhuri Ahmad

 

Jelasnya, bantuan itu jelas dapat menampung keperluan semasa industri untuk terus bertahan melawan ujian wabak.

 

Bagaimanapun, bantuan tersebut perlu diperluas dengan pendekatan yang lebih baik untuk keperluan jangka panjang.

 

"Saya lihat Permai adalah satu bantuan yang bagus ketika negara dilanda gelombang baharu COVID-19 dan memenuhi keperluan jangka pendek industri pelancongan. 

 

"Wabak ini satu benda yang tersebar di seluruh dunia dan sukar ditangani. Untuk itu, kerajaan juga perlu memikirkan dan mencari kaedah lain yang bersifat jangka panjang.

 

"Contohnya dalam aspek diskaun khas 10% bil elektrik kepada enam sektor perniagaan termasuk hotel, kerajaan boleh tingkatkan jumlah diskaun tersebut kepada 25% untuk tempoh enam bulan pertama dan kemudiaanya turun semula kepada 15% kerana industri hotel sememangnya terjejas sejak awal COVID-19," jelasnya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Dalam aspek Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan RM1,000 kepada PKS di negeri PKP, beliau mencadangkan agar bantuan tersebut diperluas kepada semua negeri dan bukan hanya di negeri PKP.

 

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Pelancongan Perak berkata, sistem agihan bantuan tersebut perlu diteliti dan diambil berat agar bantuan benar-benar sampai kepada PKS yang memerlukan sahaja.

 

"Sekiranya bantuan tersebut diberikan kepada semua PKS di Malaysia, mereka boleh ambil duit tersebut untuk kegunaa harian dan boleh simpan untuk persediaan.

 

"Sistem agihan juga perlu jelas. Pilih yang betul-betul memerlukan. Contohnya, jika pasangan suami isteri adalah PKS, bantuan perlu diberi. Namun, jika isteri adalah PKS dan suami ada pekerjaan lain, bantuan mungkin boleh dikecualikan.

 

"Sekiranya agihan bantuan salah dan beri kepada orang yang salah, banyak implikasi akan timbul," tambah beliau lagi.

 

Pakej Permai menyediakan tiga bentuk bantuan melibatkan industri pelancongan iaitu 'One-off' RM500 kepada 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing; diskaun khas 10% bil elektrik bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 serta Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan yang diperluas ke negeri PKP dengan bayaran RM1,000 kepada PKS.

 

Baca: Permai: Pemandu teksi & bas terima 'one-off' RM500

 

Baca: 500,000 PKS di negeri PKP terima GKP Tambahan RM1,000

 

Baca: 6 sektor perniagaan terima 10% diskaun bil elektrik

 

Sementara itu, kehadiran Permai mendapat pandangan berbeza oleh Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang.

 

Tan Kok Liang
Tan Kok Liang

 

Padanya, pengumuman Permai mengundang kekecewaan secara menyeluruh kepada industri pelancongan.

 

Menurutnya, pakej bantuan tersebut sebenarnya tidak memberi impak penting dalam tujuan membantu industri.

 

"Pakej Permai adalah satu kekecewaan yang total kepada ejen pelancongan dan pengembaraan kerana tidak ada yang penting dan signifikan dalam membantu industri ini.

 

"Memang Permai menyediakan bantuan 'one-off' RM500 kepada 14,000 pemandu pelancong, tetapi kebanyakan pemandu pelancong hanyalah 'freelance' (pekerja sendiri) dan tidak ada majikan.

 

"Tetapi kepada syarikat-syarikat industri pelancongan, saya lihat tidak ada inisiatif secara langsung yang dapat menolong agensi pelancongan," luahnya.

 

Dalam hal ini, peranan semua pihak perlu diselarikan dalam menggariskan keperluan semasa semua industri khususnya yang tidak beroperasi dalam tempoh PKP.

 

Jelasnya, kerajaan juga perlu mendengar keluhan dan keperluan semasa pemain industri sebelum membuat keputusan. 

 

Kesemua itu menjadi keperluan untuk merawat industri pelancongan kita daripada terus melarat.

 

Ingat, matlamat Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 yang dilancarkan pada 23 Disember lalu untuk menjadikan Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan terpilih yang utama di peringkat global perlu dicapai. - DagangNews.com