Permohonan Hak Trafik Udara meningkat 233% - Mavcom | DagangNews Skip to main content

Permohonan Hak Trafik Udara meningkat 233% - Mavcom

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 21 Jan. - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah meluluskan 93% daripada 43 permohonan peruntukan Hak Trafik Udara (ATR) yang diterima bagi suku keempat 2020.

 

Ini berdasarkan laporan yang merangkumi peruntukan ATR oleh Mavcom bagi sektor penerbangan awam di Malaysia bagi tempoh 1 Oktober hingga 31 Disember 2020. 

 

Bagi tempoh itu, sebanyak 14 ATR telah diluluskan untuk destinasi antarabangsa sementara baki 26 ATR lagi diluluskan untuk destinasi domestik. 

 

"Ini menunjukkan bahawa kadar permohonan ATR meningkat 233% berbanding 12 permohonan ATR yang diterima bagi tempoh suku tahun sebelumnya. 

 

"Peningkatan ini disebabkan pertambahan permohonan untuk perkhidmatan kargo udara berjadual dan laluan domestik baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.  

 

Kelulusan ATR untuk destinasi antarabangsa termasuk 4 destinasi di China, 2 untuk destinasi Eropah, 2 untuk destinasi India dan selebihnya, 6 ATR diluluskan untuk destinasi Asia yang lain.  

 

Peruntukan ATR berdasarkan lapangan terbangan pula merangkumi 17 peruntukan keseluruhan untuk penerbangan berasal dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL) dan 6 dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB). 

 

Selain itu, 5 peruntukan dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu (BKI) dan 12 dari lapangan terbang domestik yang lain. 

 

"Malaysia Airlines Berhad (MAB) menerima kelulusan tertinggi sebanyak 11 ATR diikuti AirAsia Group yang menerima 10  ATR. 

 

"Syarikat penerbangan, MyJet Xpress Airlines Sdn. Bhd. pula menerima 9 ATR, manakala Raya Airways Sdn.  Bhd. menerima 6 ATR dan Fly Firefly Sdn. Bhd. menerima 4 ATR," katanya.   

 

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, walaupun pemulihan  industri penerbangan akan mengambil masa, namun masih terdapat ruang pertumbuhan daripada segmen kargo. 

 

"Pihak kami dapat melihat segmen kargo berkembang seiring dengan keperluan logistik dan pemain industri tempatan mengambil peluang untuk memenuhi keperluan baharu ini," katanya.  

 

Sebagai pengawal selia ekonomi industri penerbangan, beliau berkata, Mavcom menyedari cabaran yang  dihadapi oleh syarikat penerbangan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. 

 

Dalam hal ini, Mavcom memahami keperluan bagi membantu syarikat penerbangan kembali beroperasi sepenuhnya. 

 

Sehubungan itu, katanya, berkuatkuasa 4 Jun 2020, Mavcom telah memberi penangguhan sementara syarat pembatalan  ATR secara automatik jika ia tidak digunakan dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh kelulusan ATR.

 

"Penangguhan ini bagi meringankan beban pentadbiran yang dihadapi serta membolehkan syarikat-syarikat penerbangan untuk terus memegang ATR sedia ada. 

 

"Oleh itu, tiada ATR yang tamat tempoh sejak 1 Oktober hingga 31 Disember 2020 dan pihak Mavcom akan terus berusaha untuk membantu memulihkan semula industri penerbangan," tegas beliau. - DagangNews.com